EKONOMI > BERITA

NAIM HOLDINGS JUAL TANAH DI SARAWAK PADA HARGA RM223.38 JUTA

03/07/2024 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Naim Holdings Bhd, Naim Land Sdn Bhd bercadang untuk melupuskan tanah seluas 180.8 hektar di Samarahan, Sarawak kepada Onlyee Flora Sdn Bhd pada harga RM223.38 juta.

Pemaju hartanah dari Kuching itu berkata cadangan pelupusan secara tunai tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan bagi memastikan kemampanan jangka panjang dalam operasi perniagaan dalam pasaran hartanah yang terhad, didominasi oleh hartanah yang tidak terjual yang tinggi seperti dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara.

“Dengan hasil daripada cadangan pelupusan itu, kumpulan akan dapat mengurangkan sebahagian daripada pinjaman ( kira-kira RM67.50 juta) dan menyediakan modal kerja yang mencukupi (kira-kira RM155.88 juta) bagi meningkatkan tumpuan ke arah membangunkan rumah mampu milik,” kata Naim dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Lembaga pengarahnya percaya langkah itu akan memberi peluang untuk merealisasikan keuntungan selain membuka kunci nilai pelaburannya pada nilai pasaran yang saksama dan munasabah.

Memandangkan cadangan pelupusan itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2025, ia tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material ke atas perolehan dan pendapatan sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

“Namun, berdasarkan anggaran masa ia diselesaikan, lembaga pengarah menjangkakan cadangan pelupusan hanya akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan Naim dan pendapatan sesaham bagi tahun berakhir Disember 2025 selepas ia siap,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan