EKONOMI > BERITA

PENGGIAT GLOBAL DIGESA IKTIRAF PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA - CHAN

17/07/2024 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kalangan penggiat industri minyak sawit antarabangsa digesa mengiktiraf skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwujudkan khusus bagi kemampanan sektor terbabit.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata MSPO juga menjadi bukti komitmen serta usaha berterusan kerajaan dalam menggalakkan aspek kemampanan industri minyak sawit negara.

“Kita mempunyai tiga pasaran utama - India, China dan Kesatuan Eropah dan setiap satunya mempunyai ciri berbeza (dari segi pembelian).

“India misalnya menumpukan pembelian minyak sawit mentah, China sebaliknya membabitkan minyak sawit diproses manakala pasaran Eropah lebih mengutamakan kemampanan produk berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman (F&B) Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2024 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Chan berkata skim MSPO itu juga berperanan sebagai mekanisme utama dasar kerajaan bagi menangani persepsi negatif selain mempromosi minyak sawit negara ini.

Malah, beliau berkata perkara itu turut menjadi keutamaannya sewaktu berkunjung ke China, baru-baru ini.

“Dalam pertemuan dengan wakil Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar China, saya bangkitkan perkara ini...saya sebut MSPO dengan harapan China akan mengiktirafnya sebagai kriteria bagi inisiatif hijau mereka.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi kita supaya lebih ramai pihak yakin dengan pensijilan MSPO, termasuk di pasaran Eropah dan lainnya,” katanya.

Sementara itu, MIFB 2024 yang berlangsung pada 17-19 Julai, 2024 dan dianjurkan oleh Constellar Group, berperanan sebagai platform bagi meningkatkan masa depan industri makanan dan minuman.

Acara tahun ini bertemakan ‘Memacu Perniagaan F&B; Memperkasa Inovasi dan Mengupaya Transformasi,’ turut menekankan komitmen MIFB dalam memacu kemajuan, inovasi dan kemampanan dalam sektor F&B.

Turut ditampilkan segmen MYFoodTech, platform baharu komprehensif yang menonjolkan teknologi canggih serta penyelesaian inovatif dalam industri F&B.

Lebih 350 pempamer tempatan dan antarabangsa menyertai acara itu yang dijangka menarik kira-kira 20,000 pelawat perdagangan dari lebih 80 negara, sekali gus membuka manfaat dari segi peluang jaringan yang meluas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan