EKONOMI > BERITA

NEUROGINE N2TAP PERISIAN BAYARAN MUDAH ALIH PERTAMA MALAYSIA DIIKTIRAF PCI SSC

23/07/2024 10:23 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 23 Julai (Bernama) -- Pemaju penyelesaian teknologi kewangan Neurogine Sdn Bhd melancarkan produk utamanya Neurogine n2Tap, perisian pembayaran mudah alih pertama Malaysia yang mendapat perakuan Majlis Piawaian Keselamatan Data Industri Kad Pembayaran (PCI SSC).

Neurogine n2Tap juga menepati piawaian keselamatan pembayaran mudah alih yang ketat ditetapkan oleh Pembayaran Mudah Alih PCI Tersedia Komersial (MPoC) dan merupakan produk kesepuluh diiktiraf PSI SSC sejak penubuhan syarikat pada November 2022.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutifnya Chen Chee Onn berkata perakuan majlis itu membuktikan kualiti dan kebolehpercayaan produk berkenaan sebagai inovasi dihasilkan Malaysia.

“Menerusi piawaian Perisian PCI MPoC yang diiktiraf di peringkat global, Neurogine n2Tap memastikan transaksi dan pembayaran yang selamat menggunakan pelbagai peranti mudah alih.

“Perakuan ini juga hanya mengesahkan Neurogine n2Tap memenuhi penanda aras tertinggi dalam aspek keperluan keselamatan, kebolehoperasian dan fungsi," katanya.

Chen berkata transaksi yang diproses menerusi Neurogine n2Tap adalah mengikut protokol keselamatan yang mantap serta meminimumkan risiko penipuan.

“Perisian ini menawarkan operasi secara lancar dengan pelbagai kemudahan e-dompet dan terminal pembayaran mudah alih, tidak kiralah lokasi atau pengendali rangkaian mudah alih yang berkaitan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan perakuan itu akan meningkatkan penerimagunaan lebih meluas oleh peniaga serta pengguna di serata dunia.

Pembangunan Neurogine n2Tap Neurogine n2Tap itu selesai pada awal tahun lepas, namun keperluan pensijilan Perisian MPoC yang memakan masa beberapa bulan selain penelitiannya dan disusuli dengan pengumuman PCI SSC pada pertengahan Julai.

“Kami kini dalam proses melancarkan Neurogine n2Tap di seluruh rantau Asia Pasifik dengan menyasarkan pihak bank, institusi kewangan, penyedia perkhidmatan, kerajaan dan institusi pendidikan bagi memperkasa interaksi dan urus niaga mereka dengan golongan sasaran yang menggunakan pelbagai peranti mudah alih.

“Syarikat juga giat meninjau pilihan pelanggan yang khusus bagi Neurogine n2Tap dalam memenuhi keperluan pelbagai bank dan agensi kerajaan di Malaysia, Myanmar, Indonesia dan Kemboja,” katanya.

Chen menyifatkan kejayaan produk itu juga hasil daripada penyertaan syarikat dalam program Pusat Kecemerlangan Pengasas -- inisiatif oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia bagi melonjakkan syarikat teknologi Malaysia yang berpotensi tinggi ke tahap inovasi dan dari segi kehadiran di pasaran.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan