EKONOMI > BERITA

MAYBANK BERI JAMINAN SISTEM, DATA PELANGGAN KEKAL SELAMAT

24/07/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) memberi jaminan bahawa sistemnya kekal selamat dan semua maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya meskipun terdapat dakwaan pangkalan data Maybank2u diterbitkan di forum laman web gelap. 

"Bagaimanapun, kami mengambil serius atas kebimbangan keselamtan ini dan terus memantau serta memastikan data kami dilindungi setiap masa," katanya dalam platform rasmi media sosial X, atau dahulunya Twitter, hari ini.

Maybank, bank terbesar mengikut aset di negara ini berkata transaksi dalam talian pelanggannya terus dilindungi, dengan pelbagai langkah membasmi penipuan dilaksanakan, termasuk penggunaan Secure2U bagi mengesahkan transaksi serta tempoh masa agak panjang melibatkan transaksi berisiko tinggi.

“Kami ingin mengingatkan pelanggan untuk terus berwaspada dan melindungi maklumat mereka.

"Sila pastikan ID Pengguna, kata laluan dan butiran peribadi anda selamat, dan berhati-hati terhadap perisian hasad, mesej WhatsApp, laman pancingan data dan panggilan telefon yang meminta bukti kelayakan anda," katanya.

Terdahulu hari ini, platform dalam talian  Lowyat.Net melaporkan bahawa pangkalan data yang didakwa mengandungi 22 juta maklumat pelanggan bank itu telah dijual di pasaran web gelap yang popular. 

"Pemuat naik itu 'meminta’ bayaran US$18,000 (US$1=RM4.6720) dalam Tether/Bitcoin untuk pangkalan data itu, yang didakwa mengandungi antara lain nama dan kata laluan pelanggan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan