AM > BERITA

POLIS PAHANG REKOD 27 KES ORANG HILANG SEJAK JANUARI HINGGA JULAI

24/07/2024 05:19 PM

KUANTAN, 24 Julai (Bernama) -- Polis Pahang merekodkan 27 kes orang hilang sejak Januari hingga Julai tahun ini, kata Ketua Polis negeri Datuk Seri Yahaya Othman. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes sudah selesai, manakala selebihnya masih dalam siasatan melibatkan beberapa daerah iaitu di Bera, Jerantut, Lipis, Pekan dan Kuantan.  

“Kebanyakan individu dilaporkan hilang berjaya ditemukan kembali termasuk kes melibatkan remaja perempuan Nur Aina Faqihah Sharizan,17, yang dijumpai orang ramai di Bandar Triang, Bera kelmarin.  

“Sementara itu, 10 lagi belum ditemukan atau kes yang sedang disiasat melibatkan empat kes di Bera, Jerantut (satu), Lipis (tiga), Kuantan (satu) dan Pekan (satu). Ini termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang belum dijumpai iaitu Rosdan Mat, 52, dari Kampung Redan dekat Lipis dan dia dipercayai masuk ke hutan berdekatan serta merayau-rayau di sana," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Yahaya berkata pihaknya masih meneruskan siasatan dan berusaha untuk mengesan lelaki OKU itu serta kes ini turut mendapat perhatian Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengulas mengenai penemuan Nur Aina Faqihah, beliau berkata polis mengesahkan pelajar tingkatan lima itu tidak diculik tetapi hanya melarikan diri daripada keluarga.

"Nur Aina Faqihah dipercayai menumpang rakan untuk pergi ke daerah lain sebelum dia ditemukan berkeliaran di bandar Triang oleh orang ramai sebelum dibawa ke balai polis.

"Pemeriksaan kesihatan mendapati dia dalam keadaan baik, cuma agak trauma dan kita memerlukan sedikit masa untuk mengambil keterangan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan