EKONOMI > BERITA

Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak, KL pengeksport utama pada Jun

26/07/2024 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur menguasai eksport Malaysia dengan menyumbang 82.9 peratus kepada jumlah eksport pada Jun 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jabatan itu menjelaskan Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM237.8 bilion pada Jun 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM126.0 bilion dan RM111.8 bilion.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Pulau Pinang kekal sebagai  pengeksport utama dengan sumbangan 34.2 peratus, diikuti Johor (20.6 peratus), Selangor (17.3 peratus), Sarawak (6.5 peratus) dan Kuala Lumpur (4.2 peratus).

“Prestasi eksport mencatatkan nilai RM126.0 bilion pada Jun 2024, meningkat sebanyak RM2.1 bilion atau 1.7 peratus daripada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan itu dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM2.0 bilion), Terengganu (+RM1.3 bilion), Perak (+RM767.0 juta), Selangor (+RM403.1 juta), Sarawak (+RM397.6 juta), Kedah (+RM337.0 juta), Kelantan (+RM122.1 juta) dan Johor (+RM112.2 juta),” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Jun 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata bagaimanapun, nilai eksport menurun di Labuan sebanyak RM1.7 bilion, Pahang (-RM1.2 bilion), Melaka (-RM312.0 juta), Negeri Sembilan (-RM206.7 juta), Sabah (-RM71.6 juta), Kuala Lumpur (-RM54.4 juta) dan Perlis (-RM23.6 juta).

Beliau berkata import pada Jun 2024 meningkat RM16.9 bilion atau 17.8 peratus kepada RM111.8 bilion berbanding bulan yang sama pada 2023.

Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM4.6 bilion), Pulau Pinang (+RM4.1 bilion), Selangor (+RM3.3 bilion), Kedah (+RM2.3 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.5 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.2 bilion), Terengganu (+RM101.4 juta), Perlis (+RM82.3 juta) dan Kelantan (+RM36.6 juta), katanya.

“Bagaimanapun, nilai import susut di Melaka sebanyak RM3.5 billion, Sarawak (-RM264.5 juta), Perak (-RM249.1 juta), Sabah (-RM170.6 juta), Labuan (-RM110.5 juta) dan Pahang (-RM5.2 juta),” katanya.

Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.5 peratus, diikuti oleh Johor (23.3 peratus), Pulau Pinang (20.9 peratus), Kuala Lumpur (7.6 peratus) dan Kedah (6.3 peratus).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan