EKONOMI > BERITA

IP MALAYSIA NAIK 3.8 PERATUS, EKONOMI KEKAL BERDAYA TAHAN - DOSM

25/07/2024 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Indeks pelopor (IP) Malaysia menyaksikan peningkatan 3.8 peratus dari tahun ke tahun kepada 114.2 mata pada Mei 2024 daripada 110.0 mata yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

“Pertumbuhan itu mencerminkan ekonomi berdaya tahan yang disokong oleh pengukuhan aktiviti pelancongan dan permintaan luar,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melalui satu kenyataan hari ini.

IP ialah alat yang digunakan bagi pengunjuran arah aliran ekonomi untuk purata empat hingga enam bulan di hadapan.

Mohd Uzir berkata IP Malaysia telah mengekalkan pertumbuhan positif untuk enam bulan berturut-turut selepas dirangsang oleh kenaikan kukuh dalam Indeks Perindustrian Bursa Malaysia (naik 31.8 peratus), diikuti oleh import sebenar barangan berharga asas lain dan logam bukan ferus lain (tambahan 20.6 peratus).

Pada asas bulan ke bulan, IP meningkat 0.8 peratus, disumbangkan oleh bilangan syarikat baharu yang didaftarkan pada Mei 2024 (menokok 0.5 peratus).

Mengenai Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa, DoSM berkata indeks itu meningkat 2.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 126.1 mata pada Mei 2024, didorong oleh prestasi teguh dalam caruman sebenar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (melonjak 8.7 peratus). 

Pada asas bulanan, IS juga mencatatkan kenaikan sebanyak 0.6 peratus, disokong oleh semua komponen, kecuali penggunaan kapasiti dalam pembuatan yang menyusut 0.2 peratus daripada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan