EKONOMI > BERITA

Tune Protect Lantik How Kim Lian Sebagai CEO Kumpulan

29/07/2024 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Tune Protect Group Bhd mengumumkan pelantikan How Kim Lian sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan baharu, berkuat kuasa pada hari ini.

Beliau menggantikan Rohit Nambiar yang melepaskan jawatan itu pada Mei lepas.

Dalam kenyataannya, syarikat insurans itu berkata peranan baharu How termasuk meningkatkan penembusan Tune Protect dalam ekosistem gaya hidup serta libat urus dengan penggiat utama serantau bagi memacu syarikat sebagai peneraju penyedia insurans serantau dalam sektor pengembaraan.

“Hala tuju strategiknya akan menumpukan usaha bagi mengetengahkan kemampuan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan secara menyeluruh, melangkaui teknologi dan insurans semula, penyampaian pengalaman pelanggan yang konsisten dan tawaran produk di peringkat global,” katanya.

Mengulas pelantikan itu, How berkongsi komitmennya untuk memacu pertumbuhan mampan dan keuntungan merentasi rantau terbabit, menyuntik nilai memberangsangkan untuk pelanggan kumpulan, mengukuhkan kerjasama dan memaksimumkan pulangan kepada para pelabur.

“Menerusi usaha memanfaatkan teknologi dan kepakaran kami yang mendalam dalam industri ini, terutama sektor pengembaraan, kami akan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju penggiat insurans dalam ekosistem berkaitan,” katanya.

How menyertai Tune Protect pada 2020 sebagai ketua pegawai kewangan kumpulan itu dan berperanan penting dalam menyelia aspek portfolio perolehan, undang-undang dan kesetiausahaan korporat selain tanggungjawab terasnya.

Beliau sebelum itu merupakan timbalan ketua pegawai kewangan kumpulan di syarikat penerbangan AirAsia.

Sementara itu, Pengerusi Tune Protect Datuk Mohamed Khadar Merican berkata pengalaman luas dan rekod prestasi How dalam pengurusan kewangan dan pembangunan strategik, menjadikannya pemimpin ideal untuk memajukan kumpulan berkenaan sebagai penggiat utama serantau.

"Kami yakin beliau dapat mengukuhkan Tune Protect sebagai organisasi jualan dan perkhidmatan yang lebih kukuh dan terus pesat berkembang serta meraih pencapaian lebih tinggi di bawah pimpinannya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan