EKONOMI > BERITA

UEM Group Lantik Hisham Sebagai Pengerusi, Amran Selaku Pengarah Urusan

01/08/2024 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- UEM Group Bhd menamakan Datuk Hisham Hamdan sebagai Pengerusi dan Datuk Amran Hafiz Affifudin selaku Pengarah Urusan berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd itu berkata perubahan kepimpinan ini adalah susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Izani Ghani sebagai Pengarah Urusan pada 31 Julai 2024 setelah berkhidmat selama lima tahun.

Hisham yang  berpengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai struktur korporat menyertai Khazanah pada April 2011, menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan untuk menguruskan serta mengembangkan portfolio Khazanah merangkumi pelbagai mandat dan aset.

“Sejak 2018, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Awam Khazanah, yang mempunyai mandat untuk melabur melibatkan lebih 10 negara di seluruh dunia termasuk pasaran maju dan sedang pesat membangun, dipandu strategi pelaburan sistematik dan quantamental.

“Sebelum meneraju pasaran awam, beliau bertanggungjawab bagi portfolio Khazanah dalam bidang auto, agrimakanan dan Iskandar Malaysia serta berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Penyelidikan,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata pelantikan Hisham sebagai Pengerusi menghantar isyarat yang jelas mengenai peranan penting yang dimainkan UEM Group bagi Khazanah.

“Berbekalkan pengalaman luas dan rekod kepimpinan beliau, Hisham akan meneraju lembaga pengarah dan membimbing pengurusan UEM Group dalam mencapai sasaran strategik dan kewangan yang telah digariskan,” kata beliau dalam kenyataan sama.

Mengenai pelantikan Amran sebagai Pengarah Urusan, UEM Group berkata sebelum pelantikan ini, Amran merupakan Pengerusi UEM Group dan berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif, Ketua Pelaburan Malaysia di Khazanah.

Beliau memiliki pengalaman lebih 27 tahun dan bertanggungjawab bagi pelaburan Khazanah merentas pelbagai sektor.

Amirul Feisal berkata Amran akan memacu pertumbuhan UEM Group khususnya dalam tenaga boleh baharu, selari dengan tumpuan Khazanah untuk mempercepat penyahkarbonan di bandar dan taman industri serta memperkasa pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai dalam kalangan anak syarikat UEM Group.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan