EKONOMI > BERITA

Malaysia Gesa Kerjasama ASEAN Untuk Jadi Blok Kukuh Dalam Sektor Tenaga Boleh Baharu - Fadillah

15/08/2024 03:00 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

LIMA (PERU), 15 Ogos (Bernama) -- Hubungan Malaysia dengan negara ASEAN dalam sektor tenaga boleh baharu penting bagi membolehkan perkumpulan negara-negara Asia Tenggara itu menjadi blok yang kuat dalam sektor tersebut pada masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia perlu menarik lebih banyak pelaburan dari negara lain bukan sahaja dalam bidang hiliran tetapi juga dalam membekalkan tenaga itu sendiri.

“Pelaburan ini (dalam sektor tenaga boleh baharu) adalah besar, justeru, kita perlu memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN. Jika kita dapat sama-sama melabur dalam sektor baharu ini, insya-Allah, bukan sahaja Malaysia akan mendapat manfaat tetapi juga ASEAN secara keseluruhannya.

“Kalau kita ambil contoh Kesatuan Eropah, ia menjadi sebuah kesatuan yang kuat dan mereka juga mempunyai jalinan kerjasama yang erat dalam bidang tenaga.

“Sebagai sebuah negara yang mempunyai potensi besar dari segi pembekalan tenaga boleh baharu, Malaysia perlu meningkatkan pelaburan dengan segera,” katanya kepada media Malaysia di sini.

Fadillah tiba di sini semalam untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung selama dua hari. 

Mesyuarat itu, yang dihoskan oleh Peru sebagai Pengerusi APEC 2024, adalah pertemuan peringkat tertinggi pemimpin ekonomi APEC yang bertanggungjawab terhadap pembangunan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri itu akan mengetengahkan pendirian Malaysia dalam melaksanakan usaha peralihan tenaga negara, memastikan pembangunan tenaga yang inklusif dan saksama serta berkongsi aspirasi negara ke arah pembebasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

Dalam pada itu, katanya Malaysia perlu meningkatkan pelaburan dalam pelbagai aspek sektor tenaga termasuk penjanaan tenaga, pembekalan, kestabilan dan kemampanan tenaga.

Fadillah turut menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 walaupun negara hanya menyumbang 0.8 peratus kepada pelepasan global.

“Ini pendekatan kita dan kita mengharapkan menjelang 2040, tenaga boleh baharu kita akan meningkat kepada 35 peratus.

“Menjelang 2050, kita menyasarkan untuk mencapai 70 peratus, semuanya berdasarkan tenaga boleh baharu atau tenaga bersih.

“Sebagai contoh, penjanaan kuasa baharu bukan sahaja perlu menggunakan gas tetapi juga perlu bersedia untuk menggunakan hidrogen kerana kita melihat hidrogen sebagai antara sumber tenaga masa depan,” katanya.

Oleh itu, katanya apabila hidrogen sudah tersedia dan mampu dibiayai, penjanaan kuasa baharu akan menggunakan gas dan hidrogen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan