EKONOMI > BERITA

Petronas Chemicals Catat Untung Bersih, Hasil Lebih Tinggi Pada Suku Kedua 2024

16/08/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kenaikan dalam keuntungan bersihnya kepada RM777.0 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 (S2 2024) daripada RM628.0 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pengeluar bahan kimia bersepadu itu berkata keuntungan bersih yang lebih tinggi pada suku tersebut disebabkan oleh pendapatan lain yang berkaitan dengan penilaian semula pemiutang, sebahagiannya diimbangi oleh kerugian pertukaran mata wang asing yang belum direalisasi untuk penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada sebuah syarikat usaha sama.

Hasil PCG juga meningkat kepada RM7.73 bilion berbanding RM7.11 bilion terutamanya didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dalam segmen baja dan metanol kumpulan serta sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen kimia khusus.

Bagi tempoh enam bulan, keuntungan bersih PCG meningkat kepada RM1.45 bilion daripada RM1.16 bilion tahun ke tahun manakala hasil meningkat kepada RM15.23 bilion daripada RM14.67 bilion.

PCG berkata hasil yang lebih tinggi untuk enam bulan pertama tahun itu adalah disebabkan sumbangan yang lebih besar daripada segmen kimia khusus di samping impak pertukaran mata wang asing yang positif.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Mazuin Ismail berkata kumpulan itu kekal teguh dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif kecemerlangan perniagaan untuk mengekalkan kecekapan dan keuntungan sambil memastikan strategi kalis masa depannya, termasuk penyahkarbonan yang kekal di landasan yang betul.

“Landskap perniagaan kini menjadi semakin kompleks dan industri kimia terkesan dengan ketidaktentuan yang berpanjangan di mana kita perlu mengharungi lebihan kapasiti dan permintaan rendah untuk tempoh yang lama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazuin berkata PCG mempunyai beberapa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji yang dijadualkan pada separuh kedua 2024, di mana tumpuan segera kumpulan adalah untuk melaksanakan aktiviti itu dengan selamat.

“Selain itu, kami juga menantikan operasi komersial loji usaha sama kami, PCG PCC Oxyalkylates di Kertih, Terengganu,” tambahnya.

Dalam beberapa bulan akan datang, PCG menjangkakan segmen olefin dan derivatif akan lebih perlahan berikutan susulan bekalan selaras dengan pengakhiran penutupan serantau, sementara permintaan hiliran kekal rendah, kata Mazuin.

"Urea dijangka lebih kukuh berikutan peningkatan aplikasi pertanian, sementara ketersediaan bekalan metanol terus memberi impak kepada metanol,” katanya.

Pada suku kedua 2024, kadar penggunaan loji PCG bertambah baik kepada 89 peratus daripada 87 peratus pada suku pertama 2024, menyumbang kepada peningkatan kecil dalam jumlah pengeluaran.

PCG mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024. Dividen berjumlah RM800 juta akan dibayar pada September 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan