EKONOMI > BERITA

Maxis Dan Rakan Kongsi Sediakan Ketersambungan Bersepadu Di The Light City

19/08/2024 06:53 PM

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Maxis Bhd bekerjasama dengan pemaju hartanah, IJM Perennial Development Sdn Bhd dan GlobalComm Telecommunications Sdn Bhd menyediakan ketersambungan mudah alih dan tetap bersepadu untuk pembangunan bercampur Waterfront di Pulau Pinang - ‘The Light City’.

Maxis dalam satu kenyataan hari ini berkata ia juga akan bekerjasama dengan IJM Perennial dan GlobalComm untuk membangunkan penyelesaian bandar pintar yang dikuasakan oleh teknologi 5G-Advanced dan Internet Pelbagai Perkaa (IoT) untuk melengkapkan The Light City menjadi pembangunan moden untuk penduduk dan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis Goh Seow Eng berkata perkongsian itu meletakkan The Light City di barisan hadapan teknologi, memudahkan penggunaan aplikasi dan perkhidmatan inovatif pada masa sama meningkatkan kehidupan secara keseluruhan.

"Ia juga meningkatkan pengalaman untuk penduduk dan perniagaan pembangunan ikonik ini. Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, kami komited untuk menyediakan sambungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai," katanya.

Perkongsian itu dibentuk pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan baru-baru ini di The Light City turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

IJM Perennial, pemaju induk The Light City adalah usaha sama antara IJM Corporation Bhd dan Perennial Holdings Private Limited.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan IJM Corporation Lee Chun Fai berkata The Light City mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan bandar memenuhi keperluan masyarakat.

"Menerusi kerjasama dengan Maxis dan GlobalComm, kami melengkapkan The Light City dengan infrastruktur sedia 5G yang penting, memastikan ketersambungan kukuh, bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai hab untuk perniagaan dan masa lapang tetapi juga daya tahan untuk masa depan infrastruktur digital negeri yang seiring dengan objektif pendigitalan kerajaan," katanya.

Pengarah Urusan GlobalComm Stuart Kang menekankan bahawa perkongsian itu mengukuhkan komitmen mereka untuk menyediakan penyelesaian ketersambungan yang komprehensif, memenuhi keperluan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang pelbagai bagi komuniti dan projek pembangunan di negara ini.

Ia dijangka siap secara berperingkat bermula pada suku pertama 2025, The Light City akan mempunyai pusat konvensyen terbesar di Pulau Pinang, pusat beli-belah terbesar, hotel antarabangsa, menara komersial dan pejabat serta kediaman mewah.

The Light City akan menjadi salah satu pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang, menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan