EKONOMI > BERITA

BPAM Perkenal Platform Eko Sokong Pelaporan Kemampanan

19/08/2024 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bond Pricing Agency Malaysia Sdn Bhd (BPAM) memperkenalkan perkhidmatan berasaskan web dalam talian, platform Eko, untuk menyokong institusi kewangan dan syarikat dalam pelaporan kawal selia berkaitan kemampanan.

Dalam kenyataan pada Isnin, BPAM menjelaskan platform itu menyatukan semua metrik kemampanan penting dan alat analisis untuk pelaporan kawal selia berdasarkan dua perkara.

Pelaporan mengikut Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta Klasifikasi Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) Bank Negara Malaysia (BNM) (CCPT), tambahnya.

“Platform ini menyatukan semua metrik kemampanan yang penting dan alat analisis ke dalam antara muka tunggal dan mesra pengguna, pada masa sama menghapuskan keperluan merujuk kepada berbilang sumber.

“Selain itu, ia menampilkan keupayaan penyumberan ramai inovatif yang memanfaatkan pandangan kolektif untuk terus meningkatkan ketepatan data dan tafsiran rangka kerja Taksonomi SRI dan Klasifikasi CCPT,” menurut BPAM.

Syarikat tersebut memaklumkan platform Eko itu ialah versi evolusi daripada Perkhidmatan Klasifikasi CCPT BPAM generasi pertama yang dilancarkan pada April 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif BPAM Meor Amri Meor Ayob berkata platform itu menawarkan pendekatan berstruktur untuk mengklasifikasikan prinsip yang mendorong penyelidikan dan pelaporan perubahan iklim untuk menangani isu data alam sekitar, sosial dan tadbir urus di Malaysia yang berpecah-pecah.

“Matlamat kami untuk melengkapkan pasaran dengan data yang boleh dipercayai, membolehkan perniagaan menyepadukan kemampanan dengan strategi mereka secara lancar,” katanya.

Menurut BPAM platform Eko melaksanakan metodologi yang jelas dan konsisten dalam menganalisis pelbagai aktiviti ekonomi di peringkat transaksi dan penerbit.

Taksonomi SRI SC dan rangka kerja Klasifikasi CCPT BNM diwujudkan sebagai prinsip panduan untuk pematuhan kendiri dalam pasaran modal Malaaysia, bertujuan menggalakkan kewangan yang mampan dan menangani risiko iklim di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan