EKONOMI > BERITA

Iskandar Malaysia Catat Pelaburan Direalisasi RM291.4 Bilion Sehingga Kini

20/08/2024 03:02 PM

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Iskandar Malaysia menyaksikan 70 peratus atau RM291.4 bilion daripada jumlah pelaburan terkumpulnya sebanyak RM413.1 bilion direalisasikan setakat ini sejak penubuhan wilayah ekonomi itu pada 2006.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Dr Badrul Hisham Kassim berkata kemajuan luar biasa itu menunjukkan Iskandar Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pelaburan kumulatif RM636 bilion menjelang 2030.

"Dari 2006 hingga Disember 2023, wilayah ekonomi ini telah mencatatkan pelaburan terkumpul sebanyak RM413.1 bilion, melepasi sasaran RM383 bilion yang ditetapkan untuk penghujung 2025," katanya kepada Bernama semasa program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 baru-baru ini di Dataran UTM Skudai, Johor Bahru.

IRDA telah menetapkan sasaran pelaburan kumulatif baharu sebanyak RM636 bilion untuk Iskandar Malaysia pada 2030, selepas ia berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan semasa bermulanya wilayah ekonomi tersebut.

Badrul Hisham berkata Iskandar Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi dan dipacu inovasi seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, peranti perubatan, pertanian moden, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu dan teknologi komunikasi maklumat, termasuk pusat data kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata ia juga disokong oleh industri yang berada di sekelilingnya seperti penjagaan kesihatan dan sains hayat, perkhidmatan kewangan dan perniagaan serta industri kreatif digital.

“Ini selaras dengan aspirasi negara seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya.

Beliau turut menekankan keberadaan syarikat-syarikat multinasional seperti Insulet yang mengeluarkan peranti perubatan dan pusat data seperti Airtrunk, Princeton Digital Group, Wiwynn dan Supermicro telah mengembangkan operasi mereka di Iskandar Malaysia baru-baru ini.

Mengenai hala tuju masa depan IRDA dan penyelarasan Pelan Pembangunan Komprehensif iii Iskandar Malaysia (2022-2030) di bawah agenda Ekonomi MADANI, beliau berkata kerajaan telah memutuskan untuk menyelaraskan pihak berkuasa koridor ekonomi bagi menumpukan kepada usaha-usaha memudahkan realisasi pelaburan.

“Memandangkan Kementerian Ekonomi kini dalam proses menyemak dan memperkemas fungsi penyelarasan ini, kami menjangkakan beberapa perubahan dibuat dalam rancangan dan sasaran kami tidak lama lagi,” katanya.

Langkah itu akan membolehkan IRDA memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting untuk Iskandar Malaysia dan rakyat, iaitu merealisasikan pelaburan yang akan diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan untuk rakyat, perniagaan untuk ahli perniagaan dan usahawan tempatan serta infrastruktur dan kualiti hidup yang lebih baik, kata Badrul Hisham.

Selain itu, beliau berkata IRDA akan terus melengkapkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor dengan membantu memudahkan dan memastikan pelaburan masuk dapat direalisasikan dengan cepat dan lancar.

Mengulas mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Badrul Hisham berkata Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) yang diuruskan oleh IRDA, telah memulakan operasi sementaranya sebagai persediaan untuk menyokong pembentukan zon ekonomi khas berkenaan.

“IMFC-J adalah penting dalam proses ini, ia bertindak sebagai pusat pemudah cara untuk pelaburan dalam JS-SEZ.

“Peranannya termasuk mempercepatkan proses kelulusan, menyediakan khidmat rundingan dan nasihat, dan meminimumkan halangan birokrasi dengan menyelaraskan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan