EKONOMI > BERITA

MNRB Anjurkan Program 'Ringgit Savvy' Didik Pelajar Pengurusan Kewangan Pintar

20/08/2024 03:33 PM

SABAK BERNAM, 20 Ogos (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd hari ini menganjurkan inisiatif celik kewangannya yang terkenal iaitu program “Ringgit Savvy”, untuk mendidik dan membiasakan pelajar sekolah menengah dengan pengurusan kewangan pintar melalui pengalaman yang menarik dan interaktif.

Program itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz di sini bersempena dengan "Minggu Saham Amanah Malaysia 2024" (MSAM 24) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia Alam dari 22-25 Oktober, 2024, kata MNRB dalam satu kenyataan hari ini.

"Tumpuan kepada program ini ialah 'MNRB Ringgit Journey', iaitu papan permainan yang direka khas oleh syarikat untuk memperkenalkan konsep kewangan utama termasuk elemen pelaburan, takaful, simpanan dan cukai kepada para pelajar," katanya.

Ia berkata permainan itu bukan sahaja mendidik pelajar tentang pengurusan wang tetapi juga mencabar mereka dengan situasi kehidupan sebenar, menguji kebolehan membuat keputusan dan kerja secara berpasukan.

Pada program itu, MNRB turut menyumbang televisyen pintar untuk dewan kuliah SMK Ungku Aziz bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Bhd Datuk Rudy Rodzila Che Lamin yang mewakili MNRB Group kepada Pengetua SMK Ungku Aziz Mohd Sueib Ismail.

"Di samping itu, MNRB komited untuk menambah baik persekitaran sekolah melalui inisiatif 'Tree of Tomorrow' yang bertujuan mewujudkan legasi kelestarian alam sekitar bagi generasi masa depan," kata kumpulan tersebut.

Tetamu selebriti Iman Troye membuat penampilan mengejut pada program itu dengan menghiburkan para pelajar serta berkongsi pengalamannya dan memberikan petua berguna tentang pengurusan wang.

MNRB berharap agar para pelajar bukan sahaja menikmati program tersebut tetapi juga mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan pengurusan kewangan yang bijak, yang akan memberi manfaat kepada mereka sepanjang hayat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan