EKONOMI > BERITA

Petronas Bekerjasama Dengan ADNOC, Storegga Berkaitan Kemudahan CCS Luar Pesisir Malaysia

20/08/2024 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Petronas, ADNOC dan Storegga memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama (JSDA) untuk menilai keupayaan akuifer air masin sebagai  penyimpanan pelepasan karbon dioksida (CO2) serta pembinaan kemudahan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di lembangan Penyu, luar pesisir Semenanjung Malaysia.

Menerusi JSDA itu, ia menyasarkan sekurang-kurangnya lima juta tan kapasiti pemerangkapan dan penyimpanan CO2 menjelang 2030. Skop perjanjian itu turut merangkumi kajian perkapalan dan logistik CO2 di samping meneroka aplikasi teknologi canggih, termasuk kecerdasan buatan, untuk meningkatkan kapasiti storan.

Aktiviti JSDA  itu pada masa ini dijadual bermula akhir tahun ini, kata pihak-pihak itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas CCS Solutions Sdn Bhd Nora'in Md Salleh berkata perjanjian dengan ADNOC dan Storegga berpotensi membolehkan syarikat minyak negara itu membina keupayaannya untuk membangunkan akuifer air masin sebagai tapak penyimpanan karbon dioksida dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman rakan kongsinya di rantau lain.

“Kerjasama strategik ini sejajar dengan matlamat menyeluruh Petronas dalam menjadikan Malaysia sebagai hab CCS serantau untuk memberi perkhidmatan kepada Asia Pasifik meningkatkan kapasiti penyimpanan melalui akuifer air masin,” katanya.

Petronas ialah ahli jawatankuasa Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia, telah mengenal pasti CCS sebagai satu daripada enam tuas peralihan tenaga untuk negara mencapai hala tuju mampan, rendah karbon dan berdaya tahan.

Malaysia juga dijangka membentangkan rang undang-undang CCUS menjelang akhir tahun 2024.

Sementara itu, Nora’in berkata negara ini berminat untuk mempergiat kerjasama dua hala dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam bidang seperti ekonomi, keusahawanan dan tenaga boleh baharu dalam rangka kerja Jawatankuasa Bersama untuk Kerjasama (JCC) Malaysia-UAE.

Dengan pemeteraian JSDA ini, Petronas menyokong JCC dan meningkatkan hubungan yang terjalin antara firma minyak nasional dan ADNOC, mengukuhkan kehadiran Petronas dalam perniagaan huluan ADNOC yang tidak konvensional di Abu Dhabi, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan