EKONOMI > BERITA

Tuju Setia Raih Kontrak Pembinaan Bernilai RM248 Juta Daripada Sime Darby Property

21/08/2024 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Tuju Setia Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd (PTS) meraih kontrak pembinaan bertingkat bernilai RM248 juta daripada Sime Darby Property Bhd (SDP). 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tuju Setia berkata PTS menerima surat lantikan daripada SDP bagi cadangan pembinaan dan penyiapan Hype Residences di USJ 7, Subang Jaya, Selangor.

"Kontrak berkenaan adalah untuk tempoh 33 bulan, dan ia dijadualkan bermula pada 22 Ogos," katanya.

Hype Residences yang berkeluasan 1.75 hektar (4.32 ekar), akan menampilkan bangunan 39 tingkat dengan dua menara, tempat meletak kenderaan tertutup dan pelbagai kemudahan lain. 

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Tuju Setia Wee Eng Kong berkata perolehan projek berkenaan menandakan pencapaian penting bagi syarikat itu.

“SDP adalah antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam membina komuniti yang mampan, dan kami berbangga dapat terlibat sama dengan pembangunan pelan induk SJ7 yang berprestij ini.

"Kontrak itu juga menyerlahkan komitmen kami untuk menjadi pembina pilihan dengan cara menyiapkan projek secara konsisten tepat pada masanya dan mempunyai standard kualiti yang tinggi," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan