EKONOMI > BERITA

Moody's Analytics: Prospek Ekonomi Asia Pasifik Dijangka Positif Tahun Depan

22/08/2024 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) - Prospek ekonomi rantau Asia Pasifik pada 2025 dijangka positif, walaupun jangkaan pertumbuhan perlahan ekonomi di China dan India, kata Moody's Analytics.

Firma itu mengunjurkan peningkatan ekonomi Jepun selepas negara tersebut hampir mencatatkan kemelesetan dari pertengahan 2023 hingga awal 2024, susulan lantunan semula perbelanjaan pengguna dan pelaburannya.

"Ketidakpastian masih lagi tinggi berkaitan kadar pertumbuhan gaji serta langkah mengetatkan dasar, namun tahun 2025 sepatutnya lebih baik daripada tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Moody's Analytics berkata Asia Tenggara dijangka mencatatkan pertumbuhan pesat, disokong oleh perdagangan, pelaburan, penggunaan, dasar fiskal yang kukuh dan seterusnya kelonggaran dasar monetari. 

“Vietnam dijangka paling mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan barangan global yang bakal menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) melonjak kepada 6.5 peratus tahun depan daripada 5.0 peratus tahun lepas. Ini diikuti Malaysia dan Thailand namun pada kadar yang lebih perlahan.

“Filipina dan Indonesia tidak akan jauh ketinggalan di belakang Vietnam, tetapi ekonomi mereka tidak terikat rapat kepada ekonomi global. Usaha agresif oleh kedua-dua negara itu untuk menambah baik infrastruktur mereka akan menyokong kadar pertumbuhan lebih tinggi,” katanya.

Moody’s Analytics berkata peruntukan terhadap pelaburan telah memastikan ekonomi Asia Pasifik kekal bertahan, dengan dasar fiskal di India dan China, terutamanya sokongan China terhadap pinjaman bank kepada pengilang membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi gergasi ini.

“Negara-negara Asia Tenggara, khususnya Malaysia dan Vietnam, mendapat manfaat daripada peningkatan aliran pelaburan daripada sumber tempatan dan antarabangsa namun situasi di Thailand yang bergelut untuk membentuk gabungan kerajaan yang stabil telah menjejaskan langkah fiskal negara itu dan membantutkan pelaburan asing.

“Sementara itu, kitaran pelaburan Taiwan yang lemah dijangka bertambah baik sekarang selepas pilihan rayanya berakhir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan