EKONOMI > BERITA

Sabah Tumpu Usaha Tonjol Daya Tarikan Industri Negeri, Sasar Tarik Lebih Banyak FDI

28/08/2024 08:26 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 28 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan menumpukan usaha untuk menonjolkan daya tarikan industri negeri itu dalam kalangan pelabur asing bagi mencapai matlamat menjadi negeri perindustrian menjelang 2040.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata selain menyertai lebih banyak persidangan dan pameran, kerajaan negeri juga akan memastikan tenaga kerja dan kemudahan tempatan mencukupi untuk menampung industri.

“Saya dapat tahu menerusi program seperti hari ini, di peringkat antarabangsa, sebenarnya banyak orang tidak tahu tentang Sabah dan apa yang kami mampu tawarkan. Maka penting untuk kami tingkatkan kebolehlihatan (daya tarikan industri) Sabah. 

“Satu lagi adalah latihan. Jika kita mahukan pelaburan berkualiti tinggi, kita perlukan tenaga kerja berkualiti tinggi, jadi kami bekerjasama dengan beberapa institut latihan untuk melatih rakyat Sabah, supaya mereka boleh menyumbang kepada industri yang akan kami ceburi seperti sektor hijau dan tenaga boleh baharu,” katanya kepada Bernama di luar acara pameran perniagaan ‘The Business Show Asia’, di sini, hari ini.

Phoong berkata untuk menonjolkan daya tarikan industri Sabah, negeri itu juga akan memperkenalkan dua taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kimanis, selain tiga taman perindustrian sedia ada iaitu Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Lahad Datu dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Pembangunan ini adalah sebahagian daripada strategi meluas kami untuk mengembangkan infrastruktur perindustrian kami dan menyokong kepelbagaian ekonomi dan perindustrian,” katanya sambil menambah pada 2022 dan 2023 Sabah meraih pelaburan berjumlah lebih RM11 bilion.

Pada acara itu, Phoong menyaksikan permeteraian surat hasrat (LoI) antara Pusat Latihan Penerbangan (KATC) KKIP Sabah dan DroneDash Technologies dari Singapura untuk menjalin kerjasama dalam latihan dron bagi perkhidmatan penghantaran kargo.

Ketua Pegawai Eksekutif KATC Datuk Dr Mohd Dali Isa berkata melalui kerjasama pada masa depan, DroneDash akan menyediakan kepakarannya untuk melatih belia Sabah di KATC sebagai jurutera dron, juruteknik dan juruterbang mengendalikan dron berskala besar bagi pengendalian kargo.

“Buat masa ini kita masih belum tetapkan jumlah pelatih yang akan terlibat dalam program ini yang masih dalam perancangan,” katanya. 

Beliau berkata inisiatif ini akan melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran penting, menyokong taman perindustrian sedia ada dan menyumbang kepada pembangunan dua taman perindustrian baharu di Sabah serta memacu inovasi ke negeri itu.

Sementara itu, Phoong juga menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara Hong Xin Food Sdn Bhd dan Alkemal Singapore Pte Ltd bagi pengedaran kerepek Tem Tem Tempeh keluaran syarikat dari Sabah itu ke pasaran Singapura.

Kerepek itu yang tersedia dalam variasi asli dan Tadong (nasi merah) kini boleh didapati di 30 cawangan Pasar Raya Sheng Siong, rangkaian runcit terkemuka di Singapura.

Pengasas Hong Xin Food, Cherry Ding Chew Li berkata, beliau berharap perjanjian itu akan membantu meningkatkan jenama dan produk tersebut serta menarik lebih ramai pelabur melabur dalam syarikat berkenaan.

“Kami adalah syarikat pemula niaga yang baru ditubuhkan pada Disember 2021 semasa pandemik dan memulakan pengeluaran dari rumah. Berikutan permintaan yang sangat menggalakkan, kami sudah mempunyai kilang di Kota Kinabalu, dengan pengeluaran berskala kecil buat masa ini.

“Kami berharap dengan lebih ramai pelabur (melabur dalam syarikat ini), kami dapat meningkatkan pengeluaran dan eksport ke lebih banyak negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan