EKONOMI > BERITA

Alibaba.com Akan Terus Labur, Sokong e-Dagang B2B Malaysia

30/08/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Alibaba.com, platform terkemuka untuk e-dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) global akan terus melabur di Malaysia dan memperkenalkan inisiatif untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Perniagaan Malaysia Alibaba.com Rocky Lu berkata platform ini bersedia untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran domestik dengan melabur dan melaksanakan program untuk menyokong PKS.

“Ini adalah tahun pertama kami menganjurkan Anugerah Peneraju E-dagang Utama (Anugerah KEL) di Kuala Lumpur. Konsepnya dibangunkan daripada idea yang kami merangka bersama pasukan pemerhatian baharu kami pada tahun ini,” katanya dalam temu bual hari ini.

Lu berkata Anugerah KEL Alibaba.com menyasarkan untuk menghimpunkan pembekal terkemuka dari rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara untuk menggalakkan pembelajaran dan kerjasama serta menyediakan peluang kepada peserta untuk memperluas pengaruh mereka dalam komuniti pembeli dan pembekal global Alibaba.com. 

“Dengan lebih 250 penjual global mengambil bahagian, anugerah ini memberi peluang kepada PKS Malaysia yang terpilih untuk menyerlah,” katanya.

Inisiatif ini, disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), adalah sebahagian daripada komitmen Alibaba.com untuk mempromosikan pembangunan e-dagang di Malaysia. 

Lu berkata terdapat ruang untuk meningkatkan jumlah e-dagang B2B Malaysia.

“Malaysia mempunyai jumlah median di Asia Tenggara. Ia berada di tengah-tengah dan masih terdapat banyak PKS tempatan yang berpotensi untuk memanfaatkan platform e-dagang.

“Oleh itu, kami telah melaksanakan inisiatif, termasuk sesi latihan secara dalam talian dan luar talian. Kami juga telah memberikan panduan kepada PKS tempatan mengenai penggunaan e-dagang dan pada masa yang sama, memastikan keperluan PKS tempatan,” katanya.

Beliau berkata Alibaba.com komited untuk menyediakan perkhidmatannya kepada komuniti perniagaan tempatan, termasuk alat bantu pintar yang sesuai untuk penjual dan pembeli.

Alat ini membolehkan pengguna mencari pembekal mengikut wilayah dan pembeli.

Pertandingan tersebut berakhir dengan pemilihan ketiga-tiga finalis sebagai Duta Alibaba.com Malaysia bagi tahun 2024.

Nicholas Tee Kai Xuen dari LK Tee Enterprise Sdn Bhd telah diberi pengiktirafan sebagai Peneraju E-dagang Utama Alibaba.com Malaysia pada tahun ini dan akan mewakili Malaysia dalam KEL Awards Regional Finale, yang akan berlangsung di Vietnam pada akhir tahun ini.

Acara itu turut menampilkan People’s Choice Award bagi 2024, dengan Sabrina Mah dari ZH First Coffee Sdn Bhd menerima pengiktirafan tersebut berdasarkan undian penonton.

Menurut MATRADE, lokasi strategik Malaysia dan persekitaran perniagaan yang dinamik telah mengukuhkan peranannya dalam landskap e-dagang Asia Tenggara.

Eksport negara meningkat 12.3 peratus kepada RM131.15 bilion dengan lebihan dagangan sebanyak RM6.42 bilion dari Januari hingga Julai 2024.

Ketua Pembangunan Perniagaan LK Tee Enterprise Sdn Bhd Nicholas Tee, yang memenangi anugerah Peneraju E-dagang Utama Alibaba.com berkata walaupun syarikat telah terlibat dalam e-dagang selama tujuh tahun, pandemik COVID-19 yang telah mempercepatkan pertumbuhannya.

“Perubahan sebenar bermula pada 2020 apabila pandemik COVID-19 melanda,” katanya.

Pendatang baharu dalam landskap e-dagang, terutamanya mereka yang bermula pada pascapandemik, mempunyai kelebihan untuk belajar daripada pengalaman dan cabaran sebenar.

“Dari situ, kita perlu menyesuaikan pengetahuan dengan pelan perniagaan berikutan walaupun kita mempunyai pengalaman, ia sebenarnya bergantung kepada cara kita menjadikannya praktikal untuk menjayakan perniagaan kita,” katanya.

Tee berkata Alibaba.com menjadi instrumen penting kepada pengeksport, termasuk syarikat pemula niaga, dengan menyediakan platform yang berkesan untuk mengeksport barangan, terutamanya jika dibandingkan dengan kaedah fizikal dan tradisional menjalankan perniagaan.

“Berbanding pameran perdagangan fizikal, yang sering kali mahal dan memakan masa, Alibaba.com menawarkan cara yang lebih cekap untuk berhubung dengan pembeli dan penjual sebagai pembekal, memudahkan proses dan membolehkan anda memberi tumpuan kepada membina hubungan tersebut.

“Selain itu, menjalankan perniagaan secara dalam talian membolehkan kami beroperasi secara berterusan, sepanjang tahun, yang memberi kelebihan dengan ketara. Ini membolehkan kami menguruskan  seluruh ekosistem perniagaan, termasuk penjanaan petunjuk, pemasaran dan analisis data di satu platform,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan