EKONOMI > BERITA

Amalan Perancangan Bandar Kurangkan Risiko Perubahan Iklim - Pakar

02/09/2024 10:50 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Mengintegrasikan amalan perancangan bandar yang mampan seperti infrastruktur hijau, projek berasaskan alam semula jadi dan sistem pengurusan air yang dipertingkatkan boleh membantu mengurangkan risiko perubahan iklim, kata pakar perubahan iklim.

Penasihat iklim Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik (Cent-GPS) Dr Renard Siew mengakui bahawa Malaysia mempunyai asas kukuh dalam pengurusan infrastruktur.

 Bagaimanapun katanya, seperti mana-mana negara pesat membangun, terdapat peluang untuk penambahbaikan.

"Memastikan penyelenggaraan yang berterusan dan teliti terhadap infrastruktur sedia ada adalah penting, terutamanya di bandar yang sibuk seperti Kuala Lumpur, dengan situasi haus dan lusuh boleh berlaku dengan lebih cepat," katanya kepada Bernama.

Siew yang juga Presiden Persatuan Pasaran Karbon Malaysia berkata demikian ketika ditanya mengenai budaya penyelenggaraan di Malaysia dan kesan pembangunan infrastruktur di sekitar Kuala Lumpur terhadap insiden banjir.

Beliau menekankan bahawa mempertingkat budaya penyelenggaraan dengan pendekatan proaktif berbanding reaktif, dapat membantu mencegah kejadian sedemikian pada masa depan.

Siew berkata walaupun pembangunan yang sedang dilaksanakan dalam bandar dan sekitar pusat bandar adalah penting kepada pertumbuhan ekonomi, ia memberikan cabaran, terutamanya berkenaan banjir.

Urbanisasi yang semakin meningkat dan pengurangan kawasan saliran semula jadi boleh menyumbang kepada banjir berikutan sistem saliran bandar mungkin sukar untuk menguruskan isipadu air ketika hujan lebat.

Mengenai insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India baru-baru ini, beliau berkata kejadian ini sememangnya membimbangkan, terutamanya memandangkan ia bukan kali pertama berlaku. 

Liew berkata insiden sedemikian misalnya tanah jerlus di Jalan Bukit Bintang pada 2014 menunjukkan pola yang membimbangkan, memperlihatkan kepada pelbagai faktor yang mungkin menjadi penyumbang. 

Perbandaran pesat Kuala Lumpur telah memberi tekanan yang ketara terhadap infrastrukturnya.

Beliau berkata aktiviti pembinaan yang berterusan, termasuk pembangunan bangunan bertingkat tinggi, struktur bawah tanah dan rangkaian jalan raya yang meluas, boleh menjejaskan keutuhan tanah dan sistem air bawah tanah.

"Ini boleh menyebabkan penenggelaman, apabila tanah tenggelam secara beransur-ansur, dan akhirnya mengakibatkan tanah jerlus. Selain itu, lokasi geografi Kuala Lumpur dan komposisi tanah mungkin menyumbang kepada pembentukan tanah jerlus," kata Siew.

Kuala Lumpur terletak di atas campuran landskap kars yang merangkumi batuan larut seperti batu kapur, yang menjadikannya sangat terdedah kepada tanah jerlus akibat pelarutan.

Siew berkata hujan lebat semasa musim La Nina, yang lazimnya di Asia Tenggara, boleh memburukkan lagi keadaan ini dengan meningkatkan penyerapan air ke dalam tanah, yang membawa kepada hakisan dan akhirnya meruntuhkan rongga bawah tanah.

"Faktor lain, berkemungkinan adalah infrastruktur yang semakin uzur seperti saluran pembetung lama atau paip air yang mungkin bocor dan menyebabkan hakisan tanah dari semasa ke semasa.

“Penyelenggaraan dan pemantauan berterusan adalah penting untuk mencegah kejadian sedemikian, tetapi aspek ini mungkin telah terlepas perhatian atau kurang memuaskan di beberapa kawasan," katanya.

Mengulas mengenai potensi ibu negara berada di bawah paras laut menjelang 2050, Siew berkata seperti kebanyakan bandar lain, Kuala Lumpur terdedah kepada kesan perubahan iklim termasuk peningkatan aras laut, hujan yang lebih lebat dan risiko banjir selanjutnya. 

Beliau berkata lokasi bandar yang berada di lembah, di samping urbanisasi meluas, menjadikannya terdedah kepada pengumpulan air serta masalah saliran.

Potensi cabaran banjir yang ketara dalam dekad akan datang adalah kebimbangan yang serius.

“Kita melihat beberapa langkah tebatan banjir seperti Terowong SMART, yang berfungsi sebagai sistem saliran hujan dan jalan, adalah penyelesaian inovatif yang bertujuan mengurangkan banjir kilat di bandar.

“Usaha berterusan untuk menambah baik infrastruktur saliran bandar, termasuk meluaskan dan mendalamkan longkang sedia ada, adalah penting dalam menguruskan hujan lebat dan mengurangkan risiko banjir,” katanya.

Siew turut menekankan kepentingan untuk menggabungkan infrastruktur hijau seperti turapan telap, bumbung hijau dan taman bandar, yang boleh membantu menyerap air hujan dan mengurangkan aliran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan