EKONOMI > BERITA

CBB BSN Ke-11 Jangka Dibuka Di Kelantan Tahun Depan

08/09/2024 04:10 PM

PASIR MAS, 8 Sept (Bernama) -- Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak (CBB) Bank Simpanan Nasional (BSN) dijangka dibuka di Gua Musang, Kelantan pada Jun atau Julai tahun depan. 

Pengerusi BSN Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata perkhidmatan CBB menggunakan kenderaan berkapasiti tiga tan yang telah diubah suai itu bertujuan menyantuni setiap rakyat khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman Gua Musang untuk memenuhi keperluan kewangan dan akses bagi urusan perbankan.

“Perkhidmatan yang disediakan CBB BSN seperti pengeluaran tunai melalui Mesin Teler Automatik (ATM), pembukaan akaun Kad Debit/i BSN Visa, simpanan tunai, pembayaran bil utiliti, pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN dan lain-lain urusan.

“CBB juga dapat memudahkan urusan pengeluaran wang bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan kepada mereka seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ejen Bank BSN Sinaran Mentari di sini, pada Ahad.

Beliau berkata pihaknya sentiasa komited memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negara ini selari dengan visinya ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’.

“Sejak dilancarkan pada 10 Mei, 2021, sebanyak sembilan CBB BSN beroperasi di Sabah dan Sarawak, manakala satu di Pahang.

“BSN merancang untuk memperluas CBB ke serata pelosok negara bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam menikmati akses perbankan yang menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan