EKONOMI > BERITA

Program i-SEE Bantu MyB Innovation Komersialkan Kaki Prostetik Ke Pasaran Indonesia

11/09/2024 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- MyB Innovation Sdn Bhd berjaya menghasilkan kaki prostetik berinovasi tinggi, MyB Prosthetic Limb, yang akan dikomersialkan ke pasaran Indonesia. 

Sehubungan itu, MyB Innovation dan syarikat Indonesia, PT Yusuf Ortonesia Medika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengkomersialkan produk tersebut dengan unjuran jualan berjumlah RM1 juta pada tahun pertama. 

MyB Prosthetic Limb mempunyai ciri-ciri inovatif seperti boleh dibengkokkan sehingga 180 darjah dan menawarkan keselesaan maksimum serta fleksibiliti untuk mereka yang mengalami amputasi anggota di bawah lutut.

Berbeza daripada kaki palsu konvensional yang penggunaannya terhad kepada berdiri dan berjalan, kaki prostetik baharu ini membolehkan pergerakan buku lali sekali gus menjadikannya ideal untuk aktiviti seperti sujud dan yoga. 

Menurut kenyataan bersama, MyB Innovation telah menerima geran yang diluluskan sebanyak RM191,859 di bawah Program Ekosistem Inklusif PMKS (i-SEE) oleh SME Corp Malaysia melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata program i-SEE menawarkan bantuan geran maksimum sehingga RM200,000 untuk setiap inovator atau usahawan.

“Melalui program ini, inovator atau syarikat bukan sahaja dapat membuka peluang perniagaan lebih luas ke peringkat serantau tetapi juga membawa manfaat besar kepada komuniti inklusif di Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata sebanyak 40 inovator terdiri daripada usahawan dan syarikat dengan geran berjumlah RM5.52 juta telah diluluskan sejak 2021.

Rizal berkata program i-SEE merupakan kesinambungan kepada Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) di bawah Pelan Induk PKS (2012-2020) iaitu Program Inovasi Inklusif yang telah dilaksanakan dari 2016 hingga 2020 dengan 62 kelulusan bernilai RM13.84 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata berdasarkan kajian impak yang dijalankan untuk projek i-SEE bagi tempoh 2021-2023, sebanyak 19 syarikat penerima dana telah berjaya meningkatkan pendapatan tahunan mereka. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan