EKONOMI > BERITA

Pameran Teknologi Volkswagen Buka Peluang Pembekal Tempatan Ke Peringkat Global

12/09/2024 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pameran Teknologi Pembekal dan Program Padanan Perniagaan untuk rantaian bekalan Volkswagen menawarkan potensi untuk pembekal tempatan menyertai rangkaian bekalan global syarikat automotif itu yang luas.

Acara anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Volkswagen Group Malaysia di Menara MITI semalam, juga bertujuan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia dalam sektor automotif selain memacu pertumbuhan dan inovasi dalam sektor berkenaan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz berkata penganjuran program seumpamanya dilihat penting dalam membolehkan pembekal tempatan berkembang sebagai penggiat global.

“Misi kami adalah untuk meningkatkan daya saing pembekal tempatan sejajar dengan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP2020) dan membantu mereka menjadi penyumbang utama di persada antarabangsa.

“Seiring usaha menggalakkan pembekal tempatan mengeksport peralatan dan komponen ke peringkat antarabangsa, program-program seperti ini bersama Volkswagen turut membuka peluang yang besar.

“Tiba masanya untuk kita menumpukan dan melangkaui perniagaan tempatan serta menyasarkan aspek penyepaduan global,” katanya dalam satu kenyataan.

Acara kemuncak program berkenaan adalah Pameran Pembekal Teknologi dan Padanan Perniagaan yang menyaksikan sebanyak 16 pembekal tempatan menampilkan produk-produk dan inovasi teknologi di reruai masing-masing.

Pasukan Volkswagen Group berinteraksi dengan setiap pembekal terbabit bagi menilai keupayaan serta meninjau potensi kerjasama yang boleh dijalinkan.

Sesi interaksi berkenaan juga membuktikan komitmen Volkswagen dalam memupuk pembekal tempatan yang berpotensi tinggi untuk menjadi sebahagian daripada operasinya di peringkat dunia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM) Dr Susanne Lehmann berkongsi mengenai pertumbuhan pesat sektor automotif dalam ASEAN, termasuk mengetengahkan peningkatan jualan kenderaan yang merentasi rantau itu.

Beliau turut menyuarakan harapan melihat pembekal tempatan menjadi penyumbang utama kejayaan eksport susulan pelaksanaan strategi eksport VGM yang menumpukan peningkatan permintaan bagi model-model seperti Tiguan NF dan Tayron di Vietnam, Indonesia serta Thailand.

Usaha itu termasuk perancangan bagi mengembangkan lagi barisan kenderaan yang turut merangkumi kenderaan elektrik bateri (BEV).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan