EKONOMI > BERITA

Northport Pertingkat Kapasiti, Kecekapan Melalui Lapangan Kontena Baharu

07/10/2024 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC, mengumumkan siap kerja lapangan kontena terbaharunya, Blok K yang memberi tambahan kapasiti sebanyak 662,256 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) berdasarkan hari simpanan selama lima hari.

Northport berkata pembinaan kemudahan terminal terbaharu ini bermula pada 14 Ogos 2023 dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, menjadikan jumlah kapasiti keseluruhan lapangan kontena Northport kepada 6,150,250 TEU setahun.

“Penyempurnaan kemudahan serba baharu ini merupakan satu kejayaan penting dalam komitmen berterusan Northport untuk meningkatkan keupayaan dan perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Northport penyiapan Blok K dengan 2,016 jumlah slot tapak akan meningkatkan kapasiti keseluruhan Northport dengan ketara untuk mengendalikan jumlah kontena yang lebih tinggi.

“Projek yang berjaya disiapkan 51 hari lebih awal daripada jadual ini menzahirkan prestasi cemerlang kontraktornya iaitu MMC Engineering Sdn Bhd,” kata Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Selaras dengan komitmen Northport terhadap kelestarian, lapangan kontena baharu ini akan disokong dengan penggunaan jentera kren mesra alam, Gantri Tayar Getah Berelektrik (E-RTG).

Northport telah membuat pembelian sebanyak 12 unit E-RTG untuk operasi di Blok K.

Syarikat itu berkata lapan unit pertama dijangka tiba pada Disember 2024 manakala baki empat unit lagi akan tiba pada Mac 2025.

Pelaburan dalam teknologi hijau ini menyerlahkan dedikasi Northport untuk mengurangkan jejak karbonnya dan menggalakkan operasi pelabuhan mesra alam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Northport Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata pembinaan Blok K adalah antara komponen utama dalam rancangan transformasi ‘Reinventing Northport’ yang lebih luas.

Katanya, inisiatif komprehensif ini yang diperkenalkan sejak pengambilalihan Northport oleh MMC Corporation Bhd pada Januari 2016 bertujuan untuk menangani beberapa isu dan cabaran utama yang telah diwarisi sekian lama termasuk produktiviti yang rendah, jumlah kendalian yang menurun serta peralatan jentera yang lama.

"Dengan pencapaian setakat ini, kami optimis bahawa bersama-sama dengan Westports, Pelabuhan Klang akan menjadi antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia menjelang akhir tahun 2024.

"Pencapaian ini bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap maritim global, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar untuk negara kita," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan