EKONOMI > BERITA

Tingkatkan Nilai Ambang WPL Beri Faedah Kepada Sektor Perladangan

09/10/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd percaya dengan menaikkan ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) kepada sekitar RM4,500 setan akan memberi manfaat kepada sektor perladangan menjelang Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Okt ini.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, ia menekankan iaitu kadar WPL semasa sebanyak tiga peratus terpakai kepada harga minyak sawit melebihi RM3,000 setan di Semenanjung Malaysia dan RM3,500 setan di Sabah dan Sarawak.

“Kami menganggarkan dengan meningkatkan ambang WPL kepada RM4,500 setiap tan akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat perladangan di bawah liputan kami sebanyak 2.0-5.0 peratus.

“Langkah ini juga akan meningkatkan leveraj pendapatan syarikat perladangan Malaysia semasa tempoh kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM),” katanya sambil menambah kenaikan nilai ambang akan memanfaatkan pengendali huluan dengan asas pendapatan yang lebih rendah.

Firma penyelidikan itu turut mencadangkan agar kerajaan merasionalisasikan subsidi minyak masak yang sebahagiannya boleh membantu mengimbangi kutipan cukai keuntungan luar biasa.

“Keuntungan jangka panjang yang lebih baik untuk sektor perladangan sawit akan menggalakkan usaha penanaman semula, meningkatkan hasil tandan buah segar dan hasil cukai di masa hadapan untuk kerajaan,” kata CIMB Securities.

Ia juga meramalkan jangkaan pasaran bagi pemansuhan atau pelarasan WPL adalah rendah kerana sektor itu masih belum dinilai semula untuk belanjawan yang akan datang.

Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan unjuran 2024 untuk purata harga MSM pada RM3,900 setan dengan jangkaan harga semasa akan rendah ketika musim puncak pengeluaran pada suku keempat tahun ini dan mengekalkan penarafan ‘overweight’ pada sektor itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan