BELANJAWAN 2024 > BERITA

Atlet Kembar Johor Intai Pingat Acara Tenis Di SUKMA 2024

15/08/2024 04:37 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Pasangan kembar Siti Elmiza dan Siti Elrina Hazli mahu mengangkat imej sukan tenis sebaris sukan popular lain di negeri ini seperti bola sepak dan kanu. 

Pasangan berusia 18 tahun itu merupakan antara 601 atlet Johor yang menggalas cabaran pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Siti Elmiza berkata beliau mula mewakili Johor pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur namun tidak membawa pulang sebarang pingat.

“Kali ini di Sarawak, saya menyertai dua kategori iaitu beregu campuran dan beregu wanita.

“Tidak dinafikan tekanan itu ada tetapi saya dan adik kembar (Siti Elrina) telah bertekad untuk lakukan terbaik bagi merangkul pingat dan menjadikan sukan tenis lebih popular di Johor,” katanya kepada Bernama semasa menjalani latihan di Kompleks Sukan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang di sini baru-baru ini.

Pelajar tahun pertama jurusan Diploma Pengurusan Acara PIS itu mengakui terdapat tekanan besar yang perlu digalas.

“Saya akui ada tekanan menjadi seorang atlet Johor dalam apa juga acara sukan kerana pasukan negeri lain melihat kita sebagai pencabar dan mahu menewaskan kita, tetapi saya abaikan perkara itu dan kekal fokus kepada persediaan fizikal dan mental,” katanya.

Tekanan sama turut dirasai Siti Elrina yang juga rakan sekelas di PIS dan bakal bertanding dalam kategori perseorangan wanita pada temasya berkenaan.

“Tekanan itu (bergelar atlet Johor), saya juga rasa tetapi saya bersyukur kerana berkongsi pengalaman ini dengan rakan baik saya yang juga kembar saya. Hubungan unik ini tidak dimiliki ramai atlet, saya lihat inilah kelebihan kami.

“Kami telah bermain tenis bersama-sama sejak berusia sembilan tahun hingga sekarang. Selain menyokong antara satu sama lain, kakak tahu kekurangan saya dan begitu sebaliknya, jadi kami dapat memperbaiki kelemahan sekali gus meningkatkan tahap permainan masing-masing,” katanya.

Selain Siti Elmiza dan Siti Elrina yang merupakan juara beregu wanita Kejohanan Tenis Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023, seorang lagi pemain Annur Sufieyah Nik Rozelan, 19, antara 12 atlet tenis Johor yang akan beraksi bagi kategori masing-masing pada SUKMA 2024. 

"Saya tersenarai mewakili Johor pada SUKMA 2020 tetapi temasya itu dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19. Oleh itu, saya telah menanti selama empat tahun untuk beraksi mewakili Johor," kata Annur Sufieyah yang juga pelajar tahun kedua jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik, PIS.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan