BELANJAWAN 2024 > BERITA

14 Pingat Emas Jadi Taruhan Sebelum Wushu Tutup Tirai Esok

15/08/2024 06:58 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Saingan acara wushu terus menjadi tumpuan kontinjen negeri dan Brunei pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan taruhan 14 pingat emas lagi sebelum acara berkenaan melabuhkan tirai di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya esok.

Acara dipertandingkan melibatkan disiplin taolu bagi kategori qiangshu lelaki dan wanita, gunshu lelaki dan wanita manakala sanda melibatkan kategori 48 kilogram (kg), 52kg, 56kg (wanita) diikuti kategori 52kg, 56kg, 60kg, 65kg, 70kg (lelaki) dan nandao (lelaki dan wanita).

Pada temasya kali ini, wushu yang membuka gelanggang semalam, menawarkan keseluruhan 28 pingat emas.

Esok, secara keseluruhan sebanyak 27 pingat emas bakal ditawarkan menerusi taekwondo, berbasikal, boling padang dan tenpin boling. 

Taekwondo yang membuka tirai saingan di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini, menawarkan lima pingat emas dalam acara poomsae diikuti dua  emas acara berbasikal bagi kategori lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem.

Semua pelumba yang perlu mengharungi kayuhan sejauh 108 kilometer dijangka dilepaskan pada 9 pagi.

Selain itu, boling padang mempertaruhkan empat pingat emas dalam acara pairs dan triples lelaki serta singles dan fours wanita di ArenaLawn Bowls Petra Jaya.

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan kesemua acara berlangsung di 50 venue pertandingan melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Sarawak menganjurkan SUKMA buat kali ketiga selepas 1990 dan 2016.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan itu.

Laman web dwibahasa itu juga memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan