BELANJAWAN 2024 > BERITA

SUKMA 2024: Sarawak Capai Sasaran 70 Pingat Emas

23/08/2024 07:21 PM

KUCHING, 23 Ogos (Bernama) -- Tuan rumah Sarawak berjaya mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan melabuhkan tirainya esok.

Berdasarkan laman web rasmi temasya sukmasarawak2024, setakat 6.40 petang Sarawak mengumpul 71 emas, 51 perak dan 65 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan kutipan pingat sebanyak 187. 

Pungutan pingat itu menyaksikan Sarawak kini mendahului carta kutipan pingat diikuti Wilayah Persekutuan dengan 68 emas, 60 perak dan 67 gangsa manakala Selangor ketiga dengan 50 emas, 58 perak dan 48 gangsa. 

Pada hari terakhir SUKMA esok, sebanyak 45 lagi pingat emas dipertandingkan. 

Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 70 pingat emas dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan buat kali keempat selepas memenanginya pada 1990 yang juga diadakan di Bumi Kenyalang, diikuti edisi 1992 di Johor dan 1994 di Perak.

Pada temasya kali ini, kerajaan Sarawak menawarkan insentif kemenangan RM15,000 untuk atlet negeri yang berjaya memenangi pingat emas manakala RM5,000 bagi pemenang pingat Perak dan gangsa RM3,000.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain menghimpunkan lebih 12,000 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016. 

Majlis perasmian penutup SUKMA 2024 akan diadakan di Stadium Perpaduan di sini malam esok dan dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan