BELANJAWAN 2024 > BERITA

Osmera Bimbing Selangor Raih Emas Bola Sepak Wanita

23/08/2024 10:36 PM

KUCHING, 23 Ogos (Bernama) -- Selangor memahat sejarah apabila muncul pemenang pingat emas pertama acara bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas mengejutkan pasukan pilihan Sabah 3-1 dalam aksi final yang ditangguh susulan hujan semalam, di Stadium Negeri di sini hari ini.

Pada aksi penentuan acara yang kali pertama dipertandingkan di temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu, Sabah terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi tandukan ketua pasukan Azzlyeanieh Kinuli berpunca sepakan penjuru pada minit ke-11.

Selangor yang dibimbing bekas pengendali skuad Bawah 17 Tahun (B-17) lelaki kebangsaan Osmera Omaro, bangkit menyamakan kedudukan selepas penyerang Nur Adrienna Zamzaihiri menyempurnakan hantaran lintang enam minit kemudian.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, penyerang Nurin Umairah Abdul Manan meletakkan Selangor di depan apabila menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-49 selepas penjaga gol Sabah Michelyne Reson gagal menangkap kemas bola hantaran lintang dari sebelah kanan.

Enam minit kemudian, Selangor menambah derita Sabah kendalian Petronella Douny menerusi gol ketiga dijaringkan pemain tengah Ayuna Anjani Lamsin yang bijak membuat larian untuk menyempurnakan lorongan cantik rakan sepasukan pada minit ke-54, sekali gus melengkapkan kemenangan 3-1.

Terdahulu, aksi Sabah dan Selangor yang dijadual berlangsung semalam terpaksa ditangguhkan selepas hujan lebat sejak lewat petang semalam mengakibatkan padang ditakungi air.

Pingat gangsa menjadi milik Pahang yang menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan