BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kejayaan Andrew, Chen Jie Hasil Keberkesanan Program Latihan MSN Negeri

25/08/2024 01:11 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi dan Nursyabiha Sukri

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) -- Kejayaan atlet renang Andrew Goh dan penembak Gan Chen Jie dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 adalah hasil keberkesanan program Majlis Sukan Negeri (MSN) dan kerja keras kejurulatihan.

Andrew menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepada Kerajaan Selangor menerusi MSN negeri yang membimbingnya sejak kira-kira lapan tahun lepas.

Pada saingan SUKMA kali ini, atlet renang berusia 20 tahun itu mengakhiri saingan di Bumi Kenyalang dengan pencapaian lima pingat emas selain memperbaharui dua rekod kebangsaan dan dua rekod temasya memberikan suntikan semangat untuk melakar kejayaan berganda dalam kejohanan di peringkat lebih tinggi.

“Saya berasa bangga dan terhutang budi kepada kerajaan negeri dan jurulatih-jurulatih yang membimbing saya untuk mencapai kejayaan ini. Saya akan terus berusaha keras.

“Saya juga sangat bangga dengan apa yang saya buat, bangga terhadap rakan sepasukan kerana mereka memberikan sokongan. Saya sangat bersyukur dan menyasarkan untuk mencipta kejayaan lebih besar di Sukan SEA dan Olimpik,” katanya kepada Bernama.

Mengimbau perjalanan sebagai perenang kebangsaan, Andrew berkata ibu bapanya telah menghantarnya ke kelas renang sejak berusia empat tahun bagi 'mengubati' penyakit asma. 

Beliau yang kini bebas daripada penyakit itu berharap agar pasukan renang Selangor mengekalkan dominasi pada edisi 2026 yang menyaksikan negeri itu menjadi tuan rumah. 

“Saya harap mereka (perenang Selangor) dapat teruskan, banyak yang telah diperbaiki daripada SUKMA lepas dan jumlah pingat emas yang kami raih (SUKMA 2024) lebih banyak, jadi harap (SUKMA 2026) di laman sendiri, kami mempunyai kelebihan dan saya percaya bahawa kami pasti boleh menang," katanya yang membuat penampilan terakhir pada SUKMA ini.

Sementara itu, Chen Jie,  yang merupakan penembak Negeri Sembilan mengakui kejayaan meraih gelaran terulung pada temasya dwitahunan kebangsaan itu perlu diberikan kredit kepada barisan kejurulatihan yang sentiasa bersedia membimbingnya mengatasi segala kelemahan diri. 

“Saya rasa (gelaran Atlet Terbaik Wanita) sebagai dorongan untuk lebih banyak banggakan rakyat Malaysia dan negeri untuk menang kejohanan di peringkat antarabangsa. Saya mahu layak ke Olimpik tetapi semua itu perlu ada usaha keras.

“Saya anak bongsu daripada tiga beradik dan sekarang mahu ikut langkah kakak saya yang pernah bertanding di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur (atlet renang berirama),” katanya. 

Beliau mendominasi Lapang Sasar Menembak Sarawak selepas menyapu bersih pingat emas dalam acara 10m Air Rifle individu dan berpasukan, 50m rifle 3 posisi individu dan berpasukan, 50m rifle prone individu dan berpasukan serta 10m Air Rifle bercampuran.

Chen Jie menerima anugerah itu mengatasi saingan yang tidak kurang hebatnya iaitu perenang tuan rumah Kelly Teo Yao (enam emas, satu perak, dua gangsa), gimnas Wilayah Persekutuan Cassidy Tan Jia Xin (empat emas, satu perak) dan pelari pecut Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (tiga emas, satu gangsa).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan