BELANJAWAN 2024 > BERITA

MBI, KUDR Kerjasama Untuk Pemetaan Utiliti - Datuk Bandar Ipoh

25/08/2024 04:49 PM

IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh bekerjasama dengan sebuah anak syarikat di bawah kerajaan negeri iaitu Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) untuk pemetaan utiliti bawah tanah bagi mengelakkan  berlakunya insiden tidak diingini membabitkan pembangunan sesebuah projek.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata MBI menandatangani perjanjian kerjasama itu dengan KUDR pada 1 Julai lepas dan akan melalui tempoh percubaan hingga 31 Dis depan.

" … (pemetaan utiliti bawah tanah) kita akan mula 1 Jan tahun depan. Memang kita dalam pelaksanaan, sekarang ini dalam pembangunan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Hari Rendah Karbon Ipoh di sini hari ini.

Ditanya jika terdapat hot spot tanah jerlus di Ipoh, Rumaizi berkata bandar raya itu mempunyai puluhan hot spot, ada yang telah dikenal pasti dan ada dalam proses pengenalpastian bersama KUDR.

"Kita dengan KUDR  kenal pasti (hot spot), kemudian selepas sudah kenal pasti di mana tempat itu kita akan rujuk dengan pakar (iaitu) JMG (Jabatan Mineral dan Geosains) dan lihat macam mana untuk atasinya kerana setiap kes berbeza," katanya.

Rumaizi berkata setakat ini keadaan jalan dan laluan di Ipoh masih terkawal tetapi bergantung kepada cuaca.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi terlibat serta syarikat utiliti disaran bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika pembangunan sesuatu projek.

Fahmi berkata pemetaan utiliti itu penting bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan