BELANJAWAN 2024 > BERITA

Insiden Tanah Jerlus: IEM Gesa Siasatan Menyeluruh, sedia Hulur Bantuan Pakar Profesional

25/08/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Institusi Jurutera Malaysia (IEM) menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan berhubung insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini baru-baru ini dan menawarkan kepakaran profesionalnya bagi membantu siasatan.

Presiden IEM Profesor Dr Jeffrey Chiang Choong Luin berkata pemerhatian daripada perisian Google Maps menunjukkan bahawa lokasi tanah jerlus terletak kira-kira 24 meter dari Sungai Klang dan menurut laporan media, ia adalah sedalam 8 meter.

Beliau berkata berdasarkan bukti visual daripada pihak media, insiden tanah jerlus itu mungkin mempunyai kaitan dengan utiliti bawah tanah meskipun punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.

“IEM menekankan bahawa insiden itu menjadi peringatan berkaitan keperluan mematuhi standard kejuruteraan yang ketat dan amalan terbaik dalam reka bentuk, pembinaan serta penyelenggaraan utiliti bawah tanah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Chiang berkata IEM mengesyorkan agar tindakan segera diambil untuk menstabilkan kawasan terjejas dengan input daripada jurutera profesional serta mengkaji semula utiliti bawah tanah berhampiran bagi mengurangkan risiko, dan organisasi itu sedia membantu siasatan.

“IEM mencadangkan agar pemeriksaan dan langkah keselamatan lebih ketat dilaksanakan oleh jurutera profesional yang berkelayakan dalam reka bentuk, pembinaan serta penyeliaan semua kerja infrastruktur kritikal bagi mengelakkan insiden serupa berulang.

“Institusi ini terus komited untuk menjalin kerjasama dengan badan kerajaan, industri profesional dan orang ramai demi mengekalkan standard tertinggi dalam amalan kejuruteraan di Malaysia, terus menyediakan nasihat serta sokongan pakar bagi memastikan keselamatan awam,” katanya.

Justeru itu, IEM menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan mencari dan menyelamat selain mendoakan agar ahli keluarga mangsa terus tabah.

Pada Jumaat, wanita yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang jerlus sedalam lapan meter ketika melalui Jalan Masjid India untuk ke kuil berhampiran bagi bersarapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan