BELANJAWAN 2024 > BERITA

Sarawak Mahu Acara Perasmian Sukan SEA 2027 Berlangsung Di Kuching

26/08/2024 04:27 PM

KUCHING, 26 Ogos (Bernama) -- Sarawak mahu acara perasmian Sukan SEA 2027 diadakan di bandar raya Kuching selaku penganjur bersama temasya sukan itu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkara itu telah dibawa ke kabinet Kerajaan Persekutuan untuk diputuskan.

“Namun, upacara penutupan masih fleksibel dan boleh diadakan di Kuala Lumpur atau lokasi lain yang dianggap sesuai oleh Kementerian Belia dan Sukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pembahagian venue sukan akan turut dibincangkan dengan 18 daripada 36 acara sukan dicadang diadakan di Kuching.

Abdul Karim berkata keputusan untuk menganjur Sukan SEA di beberapa bandar lain di Malaysia disifatkan mampu memberikan manfaat ekonomi dari segi peningkatan pelancongan dan perbelanjaan tempatan.

“Acara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak baru-baru ini yang dibahagikan ke sembilan lokasi telah menunjukkan impak ekonomi yang positif di semua bahagian terlibat,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027, susulan kejayaan serta kemampuan negeri itu dalam menganjurkan SUKMA 2024 yang terbaik pernah diadakan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan