BELANJAWAN 2024 > BERITA

Fuziah Salleh Dilantik Pengerusi PH Pahang Baharu

28/08/2024 11:56 AM

KUANTAN, 28 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang bagi menggantikan Datuk Seri Amirudin Saari berkuat kuasa 26 Ogos.

Fuziah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang berkata lantikan itu diputuskan pada Mesyuarat PH negeri, Isnin lepas dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor itu atas komitmen dan usaha membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).

“Mesyuarat juga bersepakat untuk mendukung persefahaman bersama yang telah ditandatangani dan akan terus memperkukuh Kerajaan Perpaduan Pahang selaras dengan dasar perpaduan dan muafakat dalam perkongsian kuasa bersama.

”Sesungguhnya, pembentukan kerajaan Pahang hari ini ialah hasil sumbangan kerusi yang dimenangi PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata mesyuarat juga berpandangan PH perlu diberikan peranan dan pengiktirafan sewajarnya selari dengan Perjanjian Persefahaman penubuhan Kerajaan Perpaduan Pahang.

Fuziah berkata mesyuarat turut mencapai kata putus supaya lebih ramai pendukung PH dilibatkan ke dalam struktur akar umbi Kerajaan Perpaduan Pahang untuk membentuk keutuhan kerjasama terutama sebagai persiapan menghadapi PRU16.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan