BELANJAWAN 2024 > BERITA

UiTM Berperanan Majukan Orang Melayu, Bumiputera Sehingga Dapat Berdiri Sendiri - PM

28/08/2024 11:07 PM

SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peranan yang dimainkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam memajukan pendidikan Orang Melayu dan bumiputera telah membolehkan mereka berdikari.

Beliau berkata dalam keghairahan arus pendidikan dunia mengejar kemajuan dan kemodenan, UiTM berjaya mengekalkan malah memartabatkan citra bumiputera serta pemikiran yang lebih mengakar kepada konteks tempatan.

Justeru itu, Perdana Menteri yakin sambutan 25 tahun penubuhan UiTM sebagai sebuah universiti yang disambut hari ini akan menyuntik semangat buat seluruh warga institusi itu agar bersama-sama meneruskan kembara akademik dengan memandang ke hadapan untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

“Antara pencapaian terhebat ialah UiTM kini berada pada kedudukan ke-587 dalam QS World University Rankings 2025 manakala di tempat ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024.

“Kita juga dapat saksikan pelajar UiTM telah berjaya menempa nama di persada dunia dengan pencapaian skor tertinggi dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountant (ACCA),” katanya ketika berucap pada Malam Gala Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri turut menzahirkan keyakinan bahawa UiTM akan terus menempa nama di persada dunia dengan pelbagai kejayaan, inisiatif dan ikhtiar yang lebih inovatif, sesuai dengan peredaran masa antaranya pengenalan inisiatif Memasyarakatkan Kecerdasan Buatan.

Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak alpa atau leka dan berterusan menghayati ‘Jiwa Merdeka’ dengan penuh kesungguhan menerusi pengukuhan azam dan usaha dalam menerajui kembara akademik demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang terangkat martabatnya.

Anwar berkata UiTM adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang amat menekankan erti kemerdekaan serta bertunjangkan kekuatan bangsa Melayu dan bumiputera.

Beliau berkata UiTM berperanan dalam mempertahan dan memartabatkan hak pendidikan golongan itu.

“Sungguhpun begitu, kita tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang dimiliki. Kemakmuran yang dikecapi hari ini bukanlah diperoleh secara nasib dan kebetulan tetapi melalui usaha gigih semua pihak dengan penuh ikhlas, istiqamah serta tawaduk untuk sama-sama membangunkan negara ini,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke majlis itu.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Fadillah dan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin selaku Pro-Canselor UiTM turut berkenan menandatangani plak perasmian Monumen Hasrat bersempena 25 tahun penubuhannya sebagai sebuah universiti.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan