BELANJAWAN 2024 > BERITA

UK Perkenal Program Biasiswa Chevening ASEAN Untuk Bentuk Pemimpin Serantau Masa Depan

28/08/2024 10:55 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 28 Ogos (Bernama) -- Perwakilan United Kingdom (UK) ke ASEAN telah melancarkan program Biasiswa Chevening ASEAN baharu yang bertujuan untuk membentuk pemimpin masa depan dari negara-negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.

Inisiatif ini yang melengkapi program Chevening khusus-negara yang sedia ada, menawarkan peluang pembiayaan penuh kepada individu terpilih untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di sebuah daripada universiti terkemuka di UK.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kim Kao Hourn menyambut baik skim ini dan menyifatkannya sebagai pemangkin penting untuk usaha integrasi serantau dan pembinaan komuniti di tengah-tengah dunia yang semakin saling berhubungan.

“Program ini berfungsi sebagai jambatan penting, membolehkan para sarjana kami bertukar idea, membina rangkaian, memupuk pemahaman budaya dan memupuk penyelesaian inovatif terhadap cabaran dan keperluan masa kini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Duta UK ke ASEAN Sarah Tiffin dalam menyuarakan keterujaannya berkata: “Adalah satu keistimewaan untuk menyokong para sarjana ASEAN melalui peluang pendidikan yang cemerlang ini dan pengalaman yang amat bernilai.”

Selain manfaat standard Chevening, program baharu ini turut merangkumi komponen eksklusif berfokuskan ASEAN.

Para sarjana akan menyertai acara sambutan di Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO), menerima jemputan utama ke Rangkaian Dasar Asia Tenggara dan acara ASEAN yang dianjurkan oleh FCDO, serta berinteraksi dengan pemimpin dari FCDO, Dewan Parlimen, sektor swasta, akademia, dan badan pemikir.

Satu Persidangan Chevening ASEAN selepas tamat pengajian juga akan menjadi sebahagian daripada program ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan