BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

TPM Ahmad Zahid Lakukan Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Timor-Leste

28/08/2024 12:49 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi ke Timor-Leste dari 28 Ogos hingga 30 Ogos.

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh pegawai kanan kerajaan dan wakil daripada Halal Development Corporation (HDC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), UniKL, dan PLANMalaysia.

"Timbalan Perdana Menteri dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.

"Beliau juga akan bertemu dengan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Francisco Kalbuadi Lay serta Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial dan Menteri Kemajuan Desa dan Perumahan Masyarakat Mariano Assanami Sabino," menurut kementerian itu.

Menurut Wisma Putra, perbincangan dijangka akan menyentuh status hubungan dua hala Malaysia-Timor-Leste, kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar dan perancangan bandar.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Nasional Timor-Leste dalam pengajian tinggi; MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Human Capital Development Fund Timor-Leste (FDCH) dalam Kerjasama mobiliti pelajar biasiswa Kerajaan Timor-Leste ke Malaysia; serta surat niat antara UniKL dan Institut Perniagaan Timor-Leste mengenai program pembangunan kakitangan dan mobiliti pelajar.

Wisma Putra berkata Ahmad Zahid juga akan merasmikan Sesi Meja Bulat “Menjadikan Halal sebagai Sumber Baharu Pertumbuhan Ekonomi Timor-Leste" pada 29 Ogos anjuran HDC.

Di atas jemputan kerajaan Timor-Leste, Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri sambutan Ulang Tahun Referendum ke-25 (Popular Consultation Day) Timor-Leste di Parlimen Timor-Leste pada 30 Ogos.

Lawatan rasmi itu akan terus mengukuhkan lagi tahap hubungan dua hala sedia ada dan menunjukkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan