BELANJAWAN 2024 > BERITA

Terbuka Korea 2024: Hon Jian-Haikal Tumbangkan Sze Fei-Nur Izzudin Di Pusingan Pertama

28/08/2024 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Mohamad Nazri mencipta kejutan apabila menewaskan juara Terbuka Jepun 2024 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan pertama Terbuka Korea 2024 hari ini. 

Hon Jian-Haikal yang juga pemain ke-19 dunia berjaya menundukkan pilihan keempat kejohanan itu 13-21, 21-16, 21-16 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 55 minit di Stadium Tertutup Mokpo, Korea Selatan. 

Menanti Hon Jian-Haikal, gandingan tuan rumah Choi Sol Gyu-Heo Kwang Hee yang akan menjadi pertemuan sulung buat kedua-dua beregu itu.

Sol Gyu-Kwang Hee melangkah ke pusingan kedua selepas mengecewakan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Wei Chun Wei, 23-21, 15-21, 21-19, semalam.

Sementara itu, gandingan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan pasangan Amerika Syarikat Presley Smith-Allison Lee 21-14, 21-11. 

Pasangan pilihan keenam kejohanan itu dijadual bertemu gandingan Taiwan Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang di pusingan kedua.

Terdahulu, Po-Hsuan-Ling Fang menundukkan rakan senegara Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui 21-17, 21-15. 

Terdahulu, juara Masters Malaysia 2024, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menewaskan rakan senegara Choong Hon Jian-Go Pei Kee, 21-12, 15-21, 21-12 dan akan bertemu pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun dalam pusingan seterusnya.

Sementara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien masing-masing mengalahkan pasangan Taiwan, Lin Bing Wei-Lin Chih Chun, 21-17, 21-10 dan Chiu Hsiang Chieh-Lin Jhih Yun, 21-11, 21-16. 

Sehubungan itu, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan bertemu Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh, manakala Tien Ci-Chiew Sien akan membuat perhitungan dengan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan, kedua-dua beregu mewakili Taiwan. 

Dalam pada itu, dua wakil negara menerima nasib berbeza apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama.

Perseorangan lelaki Leong Jun Hao ditumpaskan Takuma Obayashi dari Jepun, 22-20, 21-14 manakala beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kalah kepada pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh 21-18, 17-21 dan 14-21. 

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan