BELANJAWAN 2024 > BERITA

ACT 2024: Speedy Tigers Sasar Separuh Akhir

30/08/2024 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Pasukan hoki lelaki kebangsaan meletakkan harapan untuk mara sekurang-kurangnya ke pusingan separuh akhir pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia pada 8 hingga 17 Sept ini.

Ketua jurulatih Sarjit Singh berkata pasukannya telah melakukan persiapan sebaiknya bagi mengharungi kejohanan itu susulan perlawanan persahabatan berkualiti pada Siri Jelajah Eropah bulan lepas.

Sehubungan itu, beliau berharap pengalaman yang ditimba anak buahnya sebelum ini dapat digunakan sebaiknya untuk menampilkan kualiti permainan mantap bagi merealisasikan misi tersebut. 

“Harapan barisan kejurulatihan pastinya mahu melihat perkembangan positif pasukan dari semasa ke semasa dan setiap pemain perlu mengambil tanggungjawab penuh apabila beraksi di atas padang kerana mereka membawa nama Malaysia.

“Kami juga mahukan pemain konsisten apabila setiap kali turun beraksi kerana matlamat pasukan adalah kami mahukan perkembangan yang positif untuk jangka masa panjang dan kami barisan kejurulatihan berharap pemain akan sekurang-kurangnya ke separuh akhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, pada edisi tahun lepas yang berlangsung di Chennai, India, Speedy Tigers muncul naib juara selepas tewas tipis 3-4 di tangan tuan rumah.

Dalam kenyataan sama, Sarjit turut mengumumkan 19 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ke wilayah autonomi China itu.  

Menurutnya, pemilihan adalah berdasarkan prestasi semasa selain mengambil kira keadaan fizikal pemain yang tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Pasukan negara dijadualkan berlepas pada 3 Sept ini.

 

Berikut senarai pemain:  

Penjaga gol: Muhamad Zaimi Mat Deris, Adrian Andy Albert

Pemain pertahanan: Muhammad Marhan Jalil (Kapten), Faiz Helmi Jali, Muhammad Amirul Hamizan Azhar, Muhamad Faris Harizan, Muhammad Najib Abu Hassan, Syarman Mat Tee.

Pemain tengah: Mohd Fitri Saari, Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius, Muhammad Shafiq Hassan, Syawal Abd Razak.

Penyerang: Faizal Saari, Muhamad Azrai Aizad Abu Kamal, Norsyafiq Sumantri,  Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhajir Abdu Rauf, Mohamad Akhimullah Anuar Esook

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan