BELANJAWAN 2024 > BERITA

PbN-KYS Jalin Kerjasama Pulihkan Kawasan SCCA

01/09/2024 11:36 AM

LAHAD DATU, 1 Sept (Bernama) -- Projek pemulihan hutan secara kerjasama antara organisasi Denmark, Preferred by Nature (PbN) dan Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dijalankan untuk memulihkan Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam (SCCA) di sini.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar berkata projek berkenaan yang menumpukan kira-kira 100 hektar daripada kawasan pemuliharaan seluas 2,770 hektar, bertujuan memulihkan ekosistem yang telah rosak akibat pembalakan hampir lapan tahun.

Beliau berkata pembiayaan sebanyak RM1.2 juta daripada PbN akan meningkatkan pemantauan dan pengawasan SCCA.

"Saya yakin kerjasama ini akan memajukan usaha kita dalam menangani kerosakan alam sekitar dan menggalakkan kelestarian,” katanya kepada Bernama.

Pada 22 Ogos lepas, KYS membentuk inisiatif ini dengan menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan PbN.

Ghulamhaidar berkata sebanyak 360 hektar dalam SCCA berpotensi untuk dipulihkan, sekali gus mengangkat kawasan itu sebagai lokasi utama penyelidikan marin dan ekopelancongan di pantai timur Sabah.

Beliau juga berharap agar kerjasama itu dapat diperluaskan kepada usaha pemulihan hutan bakau dan terumbu karang di sekitar kawasan berkenaan.

SCCA terletak di Teluk Darvel kira-kira 23 kilometer dari Lahad Datu merupakan persimpangan unik antara kehidupan darat dan laut dengan hutan bakau dan kehidupan marin yang pelbagai.

Ia diklasifikasikan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya (TPA) meliputi rizab hutan bakau Tumunong Hallu dan Bangkuruan, bersama dengan Pulau Tabun dan Saranga yang berdekatan.

KYS melalui Bahagian Pemuliharaan dan Pengurusan Alam Sekitar (CEMD) akan menyelia aktiviti pemulihan dengan memastikan penggunaan dana PbN secara berkesan.

Ghulamhaidar berkata sebelum MoA berkenaan ditandatangani, KYS telah menganjurkan bengkel kepada 17 pemimpin masyarakat tempatan dengan menyediakan latihan pengurusan tanah yang lestari.

Inisiatif itu bertujuan memupuk rasa memiliki dan memastikan penjagaan jangka panjang kawasan yang dipulihkan, dengan menampilkan penceramah daripada KYS, Jabatan Perhutanan Sabah dan Reef Check Malaysia.

Penglibatan masyarakat tempatan adalah penting untuk menjayakan projek pemulihan itu, dengan peserta terlibat dalam aktiviti seperti pengumpulan benih, pengurusan tapak semaian dan penanaman.

Cadangan pemulihan untuk SCCA telah diluluskan pengurusan KYS dan disokong oleh Jabatan Perhutanan Sabah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PbN.

Ekspedisi saintifik 2015 telah merekodkan sebanyak 24 spesies mamalia, 60 spesies burung dan 63 spesies pokok bakau di SCCA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan