BELANJAWAN 2024 > BERITA

Aira, Abhay Rangkul Trofi Tuanku Muhriz 2024

01/09/2024 09:45 PM

SEREMBAN, 1 Sept (Bernama) -- Pemain skuasy wanita negara Aira Azman merangkul Trofi Tuanku Muhriz 2024 selepas menewaskan pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk pada perlawanan berlangsung di Kompleks Skuasy di sini hari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu hanya memerlukan 27 minit untuk mengatasi Chan 11-9, 11-9, 11-9 pada aksi final.

Aira yang berada di ranking ke-36 dunia berkata kejayaan hari ini didorong kakaknya, Aifa, 22, yang memberikan banyak tip sekali gus meningkatkan prestasinya.

“Semalam, saya memerhatikan rentak permainannya (Chan) dengan kakak saya (Aifa), yang kemudian memberikan panduan kepada saya untuk belajar daripada kesilapan Chan dan meningkatkan prestasi saya. 

“Susulan kekalahan sebelum ini kepada Chan di Sukan Asia, saya mengambil pengajaran daripada pengalaman itu dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan hari ini,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, wakil India Abhay Singh muncul juara kategori lelaki selepas menewaskan Tze Kwan Lau dari Hong Kong 3-1 (7-11, 11-8, 12-10, 11-4) dalam perlawanan selama 41 minit.

Pemain di ranking ke-64 dunia itu menyifatkan kemenangan diraih didorong hasil strategi tepat iaitu mengekalkan serangan tanpa henti dan menghalang lawan daripada mengawal perlawanan.

Trofi Tuanku Muhriz merupakan kejohanan berstatus Jelajah Cabaran PSA (Persatuan Skuasy Profesional).

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga penaung diraja Persatuan Skuasy Negeri Sembilan (PSNS) berkenan menyampaikan trofi kepada pemenang manakala Presiden PSNS Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz turut berangkat menyaksikan perlawanan akhir itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan