BELANJAWAN 2024 > BERITA

Anwar Harap Syarikat Swasta Ikut Contoh Khazanah Tetap Gaji Minimum 

03/09/2024 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji langkah Khazanah Nasional Bhd menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan untuk pekerjanya dan berharap syarikat swasta lain mencontohinya.

Mengakui kepentingan syarikat swasta untuk mencatatkan keuntungan, namun beliau berkata harus ada iltizam daripada pihak pengurusan syarikat swasta, untuk menjamin keselesaan pekerja mereka.

“Ya, semua syarikat harus mencatatkan keuntungan, tetapi ibarat kata seorang pemimpin Indonesia Mohammad Natsir, ‘janganlah sambil membangunkan gedung, mencatatkan keuntungan, tetapi kita robohkan nilai kehidupan anak-anak bangsa yang bekerja’.

“Biarlah ada sedikit kefahaman tentang apa nilai kemanusiaan dan apa nilai keadilan, ini melangkaui tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Khazanah,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Khazanah Nasional, di sini hari ini.

Anwar berkata langkah Khazanah itu juga selaras dengan pengumumannya baru-baru ini mengenai pelarasan gaji penjawat awam untuk menerima pendapatan bulanan tidak kurang daripada RM2,000.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan landskap dan peta Kuala Lumpur melibatkan Bangunan Sultan Abdul Samad hingga ke Carcosa Seri Negara yang merupakan kawasan warisan dan daya cipta, tidak hilang dari warisan negara dan bangsa.

Sebelum Belanjawan 2025 pada Oktober ini, Anwar berkata beliau akan pastikan supaya ada gambaran jelas terhadap usul untuk memulakan pembangunan wajah Kuala Lumpur, yang tidak terpisah dari kegemilangan dan budaya.

“Ia juga memberikan satu asakan baharu kerana dunia menuntut kita memikir masa depan kita. Inilah satu wajah Kuala Lumpur dari Bangunan Sultan Abdul Samad hingga ke Carcosa (Seri Negara), diletakkan soal ‘heritage’ tetapi digabungkan sinergi tentang aspek yang dianggap baharu, moden dan dunia AI (kecerdasan buatan),” katanya. 

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan