BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pengeluar Di ASEAN Lapor Sektor Pembuatan Naik Lapan Bulan Berturut-turut - S&P Global

04/09/2024 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Para pengeluar di Asean melaporkan sektor pembuatan yang sihat di rantau itu dengan kenaikan lapan bulan berturut-turut walaupun peningkatan itu "secara keseluruhannya sederhana," kata S&P Global hari ini.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Asean jatuh ke paras terendah empat bulan kepada 51.1 pada Ogos daripada 51.6 pada Julai.

Bagaimanapun, S&P Global berkata syarikat-syarikat pembuatan Asean kekal yakin tentang pertumbuhan output pada tahun-tahun akan datang.

“Jangkaan ini adalah yang tertinggi sejak Februari. Bagaimanapun, indeks kini telah berada di bawah purata jangka panjang selama 22 bulan berturut-turut,” kata S&P Global.

Ahli Ekonomi Risikan Pasaran Global S&P Maryam Baluch berkata sektor perkilangan di Asean mendapat manfaat daripada pengukuhan trend dalam permintaan asas apabila pesanan baharu meningkat dengan kukuh, sekali gus menggalakkan firma untuk turut meningkatkan pengeluaran mereka pada Ogos.

“Data terkini menunjukkan sedikit kelembapan pada bulan itu disebabkan permintaan asing yang semakin merosot terus bertindak sebagai penghalang kepada pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, gambaran untuk pekerjaan kelihatan agak kelam.

Maryam berkata walaupun tekanan terhadap kapasiti meningkat, syarikat merekodkan penurunan baru dalam angka-angka gaji, walaupun ia hanya sebahagian kecil. Sebaliknya syarikat memilih untuk mengurangkan lagi inventori mereka bagi memenuhi keperluan perniagaan.

S&P Global berkata data Ogos menunjukkan pengukuhan trend permintaan asas memandangkan pengembangan dalam pesanan kilang baharu dan output adalah kukuh secara keseluruhan. Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda pertumbuhan yang perlahan kerana indeks pelarasan musim mengukur paras terendah lapan dan empat bulan, katanya.

Selain itu, permintaan sebahagian besarnya disokong oleh pasaran domestik memandangkan jualan kepada pelanggan asing terus jatuh pada Ogos, tambahnya.

“Pertumbuhan dalam pesanan baharu menyokong keputusan syarikat untuk meningkatkan lagi aktiviti pembelian mereka pada Ogos, kadar pertumbuhan meningkat sedikit daripada paras terendah tiga bulan dari Julai.

“Oleh itu, pengeluar membuat kemajuan lebih jauh dalam tindakan mereka, kerana kedua-dua inventori pada pra dan pasca pengeluaran berkurangan pada kadar yang lebih kukuh,” kata S&P Global.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan