BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia Bincang Pelanjutan Tempoh Pengecualian Visa Pelancong Ke China - Saifuddin

08/09/2024 04:32 PM

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

SHANGHAI, 8 Sept (Bernama) -- Pelanjutan tempoh pengecualian visa pelancong untuk rakyat Malaysia ke China daripada 15 kepada 30 hari, antara perkara yang akan dibincangkan dalam lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke negara itu, bermula hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka juga akan membincangkan mengenai pelanjutan tempoh pengecualian itu daripada berakhir Disember 2025 kepada akhir 2026.

Beliau berkata perkara itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan Ahmad Zahid bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong, pada sesi tertutup Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL), di sini, esok.

“Pendirian kita (Malaysia) dengan memberi visa percuma kepada rakyat China atas alasan untuk menggalakkan industri pelancongan, iaitu 30 hari…Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bincangkan sebelum ini agar China saling bertukar, kerana sekarang China beri kita (pelancong Malaysia) hanya 15 hari (tanpa visa).

“Dalam perbincangan tertutup esok, kita akan bawa semula perkara itu. Di peringkat perbincangan pegawai, China sudah menunjukan reaksi positif namun belum menjadi ketetapan. Positifnya kerana sedia untuk berbincang,” katanya pada sesi bersama media Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid dijadual memulakan rangka lawatan ke China bermula hari ini sehingga 12 Sept bersempena GPSCFL yang berlangsung di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu pada 8 dan 9 Sept atas undangan bersama Pengerusi GPSCFL Tsang Wai-Hung dan Presiden Persatuan Persahabatan China Chen Zinmin.

Media sebelum ini melaporkan ketika lawatan lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia pada Jun, China bersetuju melanjutkan kemudahan pengecualian visa itu kepada rakyat Malaysia sehingga akhir 2025, manakala Malaysia melanjutkan kemudahan sama kepada rakyat China sehingga penghujung 2026.

Langkah dua negara itu bagi menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk serta mengukuhkan hubungan persahabatan Malaysia-China.

Selain, Saifuddin berkata isu jenayah rentas sempadan melibatkan jenayah pemerdagangan manusia dan jenayah siber, turut akan menjadi fokus Malaysia pada forum itu yang disifatkannya sebagai cabaran baharu dan memerlukan komitmen bersama antara negara.

“Bagi Malaysia dan China dalam jenayah rentas sempadan, tentunya ia mencakupi pelbagai perkara bahawa kedua-dua negara bersetuju melihat dari segi kapasiti kerjasama meningkatkan keupayaan terhadap badan penguat kuasa, dan perkongsian maklumat khusus berkenaan aktiviti jenyah rentas sempadan. 

“Ini kerana kerjasama tersebut perlu ada keberhasilan, umpamanya perkongsian maklumat tentang aktiviti dadah atau jenayah yang berupa jenayah siber atau penipuan kewangan dan untuk perkara itu, kedua-dua negara harus ada komitmen ke arah berkongsi maklumat,” katanya.

Malaysia dan China sebelum ini memeterai pelanjutan perjanjian bagi kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara berkuat kuasa sehingga 2034, dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5), di Beijing pada Jun.

Saifuddin berkata pada persidangan berkaitan perkara itu di Laos baru-baru ini Setiausaha Agung ASEAN mendedahkan, jenayah rentas sempadan menjadi trend global yang semakin meningkat sejak dua tahun lepas dengan nilai kerugian mencecah US$1.02 trilion.

Pada masa sama, Saifuddin berkata beliau telah memulakan perbincangan awal dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha merangka senarai keutamaan ancaman keselamatan dan jenayah negara, dalam usaha menjadikan usaha menyelesaikan ancaman keselamatan dan jenayah ini lebih berfokus.

“Kalau kita lihat,setiap negara mempunyai senarai keutamaan (ancaman jenayah), misalnya di  China ini keutamaan dia ialah penipuan kewangan...saya melihat Malaysia juga perlu ada dan ini juga memudahkan kita memperkukuh kerjasama dengan negara yang mempunyai turutan keutamaan yang sama,” katanya.

Di peringkat ASEAN, Saifuddin berkata dalam senarai keutamaan keselamatan dan jenayah blok itu, dua elemen iaitu pelanunan di laut dan jenayah ekonomi antarabangsa digugurkan, sementara elemen baharu,  penipuan dalam talian, dimasukkan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan