BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia Akan Eratkan Hubungan Dengan Cuba - Duta Besar

08/09/2024 04:52 PM

HAVANA, 8 Sept (Bernama-Prensa Latina) -- Malaysia dan Cuba telah memupuk persahabatan dan kerjasama yang erat dalam forum-forum antarabangsa, satu perkongsian yang berpotensi untuk ditingkatkan dalam perdagangan dan kerjasama di pelbagai sektor, kata Duta Besar Malaysia ke Cuba, Muhammad Radzi Jamaludin.

Beliau berkata Malaysia dan Cuba telah menubuhkan hubungan diplomatik pada tahun 1975, dengan Cuba membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada tahun 1997, dan Malaysia pula membuka kedutaannya di Havana pada tahun 2001.

"Malaysia dan Cuba telah menyambut 49 tahun persahabatan dan kerjasama yang teguh dalam forum-forum antarabangsa, dengan kedua-dua negara sentiasa menyokong antara satu sama lain atas kepentingan bersama. Malaysia juga telah menyokong setiap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang sekatan AS (Amerika Syarikat) terhadap Cuba, yang dianggapnya tidak adil dan tidak berasas," katanya dalam satu temu bual dengan agensi berita rasmi Cuba, Prensa Latina.

Muhammad Radzi berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan perdagangan antara kedua-dua negara yang nilainya kini mencecah hampir US$4.7 juta.

Pada masa ini, perdagangan dilakukan melalui negara perantara seperti Panama, Mexico, Sepanyol, dan Singapura.

Sementara itu, ketua perwakilan itu berkata Malaysia dan Cuba sedang meneroka kerjasama dalam tenaga diperbaharui dan bioteknologi serta antara agensi berita mereka - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia  (Bernama) dan Prensa Latina.

Muhammad Radzi, yang juga Duta Besar Malaysia untuk Republik Dominican, Haiti, Bahama, Jamaica, dan Nicaragua dari Havana, telah mencadangkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan perdagangan dan merancakkan pelancongan.

Beliau menggariskan rancangan untuk menganjurkan seminar perniagaan dan acara yang memfokuskan kepada pelancongan bagi mempamerkan destinasi dan produk.

“Kami sedang menghubungi Kementerian Pelancongan dan pengendali pelancongan dari kedua-dua Cuba dan Malaysia, dengan tujuan untuk mengatur acara persendirian bagi memudahkan kerjasama mereka,” katanya.

Muhammad Radzi berkata pelancongan adalah sumber pendapatan penting bagi kedua-dua Malaysia dan Cuba. Bagi Malaysia, industri pelancongan menjana sekitar US$25 bilion setiap tahun.

“Matlamat saya adalah untuk memupuk promosi bersama. Penting untuk mempamerkan destinasi dan produk kedua-dua negara kepada agensi pelancongan, menekankan apa yang kami tawarkan dan potensi kami,” katanya.

Apabila Malaysia menggalas jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, beliau berharap kerjasama yang lebih erat dapat dijalinkan antara ASEAN dan Cuba bagi meningkatkan kesalinghubungan serantau dan memaksimumkan  manfaat Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang ditandatangani Cuba dengan ASEAN pada tahun 2020.

Beliau berkata Malaysia akan terus menyokong penyertaan Cuba dalam Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang telah memberi manfaat kepada 92 pegawai dan profesional Cuba daripada pelbagai agensi dan kementerian.

Ditubuhkan oleh Kuala Lumpur pada tahun 1980, MTCP bertujuan untuk membangunkan modal insan di negara-negara Selatan Global sebagai sebahagian daripada dasar kerjasama Selatan-Selatan Malaysia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan