BELANJAWAN 2024 > BERITA

Binastra Raih Kontrak Rm574.4 Juta Bagi Fasa 2 Pusat Data Bukit Jalil

09/09/2024 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Binastra Corporation Bhd (Binastra), Binastra Builders Sdn Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM574.4 juta daripada Exsim Jalil Link Sdn Bhd.

Kontrak itu bagi reka bentuk, pembinaan, pengujian dan pengoperasian kerja-kerja pembinaan utama untuk Fasa 2 cadangan pembangunan pusat data di Bukit Jalil, di sini.

Pengarah Urusan Binastra Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata apabila memasuki Fasa 2, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pelanggan dan juruteranya untuk menggabungkan ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang dipertingkatkan memastikan pembangunan sejajar dengan piawaian kemampanan global.

“Selepas diberi kepercayaan dengan Fasa 1 projek pembangunan pusat data ini pada 2023, yang dijangka siap pada akhir 2024 dan berjaya disewakan kepada syarikat teknologi yang berpangkalan di Singapura, Aperia Cloud Services, kami terharu diberikan tanggungjawab untuk menyelia fasa kedua pusat data yang dicadangkan ini melalui kontrak terbaharu ini.

“Kemahiran kerja kami yang berkualiti dan menyiapkan projek tepat pada masanya telah mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap kami,” kata Tan.

Menurut syarikat itu, kerja-kerja pembinaan untuk Fasa 2 termasuklah sebuah blok pusat data lima tingkat, ruang pejabat dan pencawang elektrik.

Projek ini dijangka bermula pada 1 Okt, 2024 dengan tarikh siap disasarkan dalam tempoh 16 bulan.

“Pusat data yang dicadangkan ini, mewakili kontrak tunggal terbesar kumpulan yang pernah diperoleh, menjadikan nilai perolehan kontrak kami yang belum selesai kepada paras tertinggi sebanyak RM3.3 bilion,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan