BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pemain Tempatan Dapat Lebih Kepercayaan Bersama Vicente - Pemerhati

09/09/2024 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Pemain tempatan dilihat lebih mendapat tempat berbanding pemain warisan dan naturalisasi dalam pasukan negara kendalian Pau Marti Vicente, yang muncul juara Pestabola Merdeka 2024 semalam.

Pandangan itu diberikan pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli sambil menganggap sesuatu yang positif, untuk melihat separuh daripada kesebelasan utama pasukan dibarisi pemain tempatan.

Beliau berkata kesebelasan utama dan pemain yang diturunkan Vicente dalam dua perlawanan pertamanya sebagai pengendali skuad Harimau Malaya, juga secara tidak langsung menepis dakwaan wujudnya ‘tangan ghaib’ dalam pasukan negara.

“Elemen positif saya dapat lihat ialah Vicente beri lebih kepercayaan kepada pemain-pemain tempatan untuk beraksi. Separuh daripada kesebelasan utama boleh dikatakan pemain tempatan.

“Ini yang kita harapkan untuk menepis persepsi setiap kali pasukan kebangsaan beraksi, ada sahaja tuduhan negatif yang ‘tangan ghaib’ menentukan panggilan dan juga barisan pemain untuk diturunkan.

“Maka kita dapat lihat seperti kebebasan diberikan kepada beliau (Vicente) untuk mencorakkan Harimau Malaya sebebasnya kali ini yang menyumbang kepada kejayaan di Pestabola Merdeka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Lubnan 1-0 menerusi gol kemenangan penyerang naturalisasi Romel Morales di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia meraih gelaran ke-13 sejak pertandingan bola sepak tertua di Asia itu diperkenalkan pada 31 Ogos 1957, dengan kali terakhir pasukan negara memenanginya pada edisi 2013.

Dalam dua aksi pertama termasuk ketika menewaskan Filipina 2-1 pada Rabu, pemain tengah Mohammad Syamer Kutty Abba yang menjaringkan satu gol ketika bertemu Filipina dan pemain pertahanan muda Muhamad Feroz Baharudin, antara nama yang menampilkan prestasi terpuji.

Sementara itu, Pekan berkata beliau melihat masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki pasukan negara.

“Pasukan dilihat masih lemah dalam pelbagai aspek permainan, barisan tengah yang kerap kebuntuan, tidak pantas dan kreatif dalam melakukan penetrasi ke arah kawasan gol lawan, banyak hantaran bola ke belakang khususnya pada perlawanan pertama ketika berdepan Fillipina (menang 2-1),” katanya.

Pekan berkata beliau berharap semua pihak tidak terlalu terbuai dengan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka itu, sebaliknya terus bekerja keras memajukan mutu pasukan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan