BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pusat Badminton Berprestasi Tinggi Asia Dibina Di Malaysia - Norza

09/09/2024 09:51 PM

KUALA LUMPUR,  9 Sept (Bernama) -- Inisiatif pertama dilakukan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas terpilih sebagai naib presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Asia Tenggara ialah pembinaan Pusat Badminton Berprestasi Tinggi Asia di Kuala Lumpur, Malaysia.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan memaklumkan Mohamad Norza yang juga presiden MOM, telah mencadangkan idea itu kepada Ketua Pengarah OCA Kapten Husain Al-Musallam semasa lawatan kerjanya ke Kuala Lumpur pada 1 Mei tahun lepas.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Husain Al-Musallam amat kagum dengan kemudahan terkini dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM) semasa lawatan itu, yang bukan sahaja menempatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi juga berfungsi sebagai hab latihan utama untuk Pasukan Badminton Kebangsaan Malaysia.

“Sebagai bekas presiden BAM dan presiden kehormat Badminton Asia, saya berbesar hati untuk berkhidmat sebagai naib presiden OCA bagi Asia Tenggara dan menyumbang kepada pembangunan badminton dalam kapasiti baharu ini.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada presiden OCA yang baru dipilih, Raja Randhir Singh atas kepimpinannya yang berwawasan. Dedikasinya kepada Pergerakan Olimpik dan komitmen untuk memupuk pembangunan sukan di seluruh Asia telah menjadi sumber inspirasi sebenar.

“Dengan bimbingan beliau, kami yakin Pusat Badminton Berprestasi Tinggi Asia akan memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Pembangunan OCA,” kata Mohamad Norza.

Inisiatif ini mewakili kerjasama antara OCA, NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) Malaysia dan BAM, dan perkongsian ini diperkukuh dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) semasa Perhimpunan Agung OCA ke-44 di Bharat Mandapam di New Delhi, India semalam.

MoU itu ditandatangani Raja Randhir Singh, Mohamad Norza dan Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam yang menandakan kejayaan penting untuk masa depan badminton di Asia dan mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat bagi memajukan sukan itu di peringkat serantau dan global.

Objektif utama penubuhan pusat ini adalah untuk menyumbang kepada pembangunan badminton di seluruh Asia, dengan menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia di Malaysia khususnya untuk membangunkan NOC di rantau ini.

Pusat ini bertujuan untuk mencungkil bakat dengan menawarkan latihan prestasi tinggi kepada pemain, serta peluang pembangunan untuk jurulatih dan pengadil, melalui Program Pembangunan OCA yang berstruktur.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan