BELANJAWAN 2024 > BERITA

Palestin Berharap Dapat Kekalkan Momentum Menentang Jordan Di Cheras

09/09/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Palestin berazam untuk memberikan saingan sengit pada pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Dunia 2026, meskipun berhadapan cabaran sukar.

Selepas berjaya mengikat juara Asia Korea Selatan seri tanpa jaringan pada aksi Kumpulan B minggu lepas, Ketua Jurulatih Makram Daboub berkata beliau berharap skuad bimbingannya akan dapat mengekalkan momentum pada pertemuan menentang Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras esok.

“Kami menghadapi situasi yang sukar sebelum ini, tetapi kami berjaya bermain dengan baik ketika menentang Korea Selatan untuk mencatat keputusan positif. Bagi perlawanan esok, kami berharap untuk beraksi sama seperti kami lakukan sebelum ini.

“Kami telah mengadakan kem latihan selama seminggu (di Malaysia), dan pemain kami bersedia untuk perlawanan seterusnya. Kami berharap dapat bermain di padang sendiri di Palestin suatu hari nanti, kerana penting untuk bermain di tempat sendiri di hadapan penonton kami,” katanya semasa sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Sementara itu, penjaga gol Rami Hamada menyifatkan Malaysia sebagai ‘rumah kedua’ mereka dan melahirkan rasa terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana memberi peluang kepada mereka bermain di sini.

Beliau berkata pasukan itu akan memberikan saingan sengit, sama seperti mereka lakukan ketika menentang Korea Selatan.

“Kami bangga dengan persembahan kami ketika menentang Korea. Ia menjadi motivasi kepada kami untuk meneruskan persembahan bertenaga minggu ini,” kata Hamada.

Sementara itu jurulatih Jordan Jamal Sellami memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah Palestin, walaupun mempunyai rekod prestasi yang baik dalam tiga pertemuan terakhir, setelah menang dua kali dan seri sekali.

Beliau juga menggesa pasukan itu bangkit daripada keputusan seri 1-1 menentang Kuwait pada perlawanan pertama minggu lepas untuk fokus mengutip tiga mata esok.

“Kami keciciran dua mata kepada Kuwait dan sasaran kami (esok) ialah mengutip tiga mata. Perlawanan ini sangat penting bagi kami dan pasukan sudah bersiap sedia untuk menang,” katanya.

Jamal berkata beliau akan melakukan sedikit pertukaran pemain dalam kesebelasan utama pasukan itu, selepas Musa Al-Taamari mengalami kecederaan ketika menentang Kuwait.

Palestin memilih Malaysia sebagai venue neutral untuk menghadapi kempen kelayakan, selepas negara itu terlibat dalam konflik peperangan akibat kekejaman tentera Israel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan